
Tiada lesen perniagaan, enam premis di Pengkalan Balak dikompaun
TANJUNG BIDARA 7 Ogos – Padah beroperasi tanpa lesen, enam premis penginapan di pantai peranginan Pengkalan Balak, di sini, dikompaun dalam operasi dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT), semalam.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) TPr. Saifuddin Abdul Karim berkata, dalam Operasi Premis Rumah Tumpangan/Hotel yang dijalankan itu, pihaknya memastikan premis-premis yang beroperasi mempunyai lesen perniagaan yang sah dan mengikut peraturan ditetapkan pihak PBT.
Beliau berkata, operasi berkala yang membabitkan prosedur rutin itu dijalankan Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Perlesenan MPAG.
“Dalam operasi semalam kita memeriksa sebanyak 10 premis di sekitar Pengkalan Balak dan hasilnya enam dikesan tidak mempunyai lesen perniagaan.
“Semakan dilakukan mendapati ada di antara premis yang sebelum ini mempunyai lesen perniagaan tetapi gagal memperbaharui selepas tamat tempoh.
“Malah ada juga pengusaha yang belum mengemukakan permohonan kepada pihak PBT untuk mendapatkan lesen,” katanya.
Menurutnya, kebanyakan premis yang dikeluarkan kompaun itu didapati sudah beroperasi lebih lima tahun.
“Kompaun bernilai RM250 setiap satu ini dikeluarkan di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil Hotel MPAG) 2012.
“Selain itu juga kita turut memberikan notis kepada pemilik dan pengusaha penginapan ini untuk memperbaharui lesen serta mengemukakan permohonan,” katanya.
Mengulas lanjut Saifuddin berkata, pemilik premis atau pengusaha penginapan perlu membuat permohonan dalam tempoh 14 notis dikeluarkan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.