Tiada larangan bawa kanak-kanak ke pasar Ramadan di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BEMBAN 23 April. – Kerajaan negeri tidak pernah menguatkuasakan perintah larangan membawa kanak-kanak ke pasar Ramadan di seluruh Melaka setakat hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, perkara itu tidak pernah diputuskan dalam mesyuarat kerajaan negeri dan larangan itu juga tidak termaktub dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Justeru katanya, menjadi kesalahan sekiranya penganjur pasar dan bazar Ramadan di negeri ini melarang ibu bapa membawa anak-anak mereka.

“Setakat ini memang tidak ada sebarang penguatkuasaan larangan membawa kanak-kanak di pasar Ramadan. Dalam SOP MKN juga tidak pernah dinyatakan bahawa kanak-kanak bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk.

“Jadi, sepatutnya penganjur tidak boleh melarang ibu bapa membawa anak-anak mereka.

“Saya faham, syor yang dibuat itu memang bagus dalam situasi semasa pandemik COVID-19 masa kini, tetapi kita tidak boleh melarang.

“Jika ada ibu bapa berkeras bawa anak-anak kecil, apa jua yang terjadi terletak di bawah tanggungjawab mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan ‘walkabout’ di Pasar Ramadan Bandar Jasin Bestari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Speaker Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Wira Ghazale Muhamad, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka Datuk Dr Ismail Ali dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin Datin Sapiah Haron.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan memasuki beberapa pasar Ramadan di negeri ini.

Perkara itu menimbulkan perdebatan ramai memandangkan tiada kenyataan rasmi dikeluarkan kerajaan untuk melarang kanak-kanak memasuki pasar dan bazar Ramadan di seluruh negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1272
Kongsi :
Previous post Bazar Aidilfitri dibenar beroperasi hingga 2 pagi mulai esok
Next post Kebersihan tidak memuaskan, dapur hotel tawar bufet Ramadan diarah tutup dan dikompaun
Ubah saiz-+=