Sorting by

×

Tiada lambakan hasil tani di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 27 Mei – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka menafikan wujudnya lambakan hasil tani di negeri ini yang tidak terjual sepanjang tahun ini biarpun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan 3.0.

Ahli Lembaga Pengarah FAMA Datuk Wira Ghazale Muhamad berkata, setakat ini tiada aduan yang diterima pihaknya membabitkan masalah itu.

Malah, ujar beliau, FAMA Melaka juga mengambil inisiatif membeli hasil tani dan menjualnya di pasar tani seluruh negeri ini.

“Memang tiada (lambakan hasil tani). Ini kerana pasar tani dan pasar awam masih dibuka dan semua hasil tani masih boleh dijual.

“Alhamdulillah, kita tidak mendengar sebarang rungutan atau aduan daripada petani yang menyatakan mereka bermasalah dengan lambakan hasil setakat ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya berlaku lambakan hasil tani di mana-mana tempat di seluruh negara, petani atau peraih boleh mengambil inisiatif untuk menjual hasil tani mereka di negeri dan daerah lain.

Jelasnya, sebelum ini ramai yang salah faham kononnya, tidak boleh merentas negeri atau daerah sepanjang PKP 3.0 untuk menjual hasil tani.

“Sebenarnya memang boleh, dasar kerajaan sudah menetapkan bahawa industri makanan tidak mempunyai masalah untuk rentas sempadan.

“Caranya, mereka perlulah mendapatkan keizinan daripada Jabatan Pertanian Negeri untuk memasarkan hasil mereka. Itu sahaja,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1230
Kongsi :
Previous post Penganggur berdepan hukuman gantung bunuh bekas abang ipar
Next post KPPA tegur penjawat awam isu kerja sambil lewa, tidak cekap
Ubah saiz-+=