Tiada lagi PKP, kawalan lebih ketat di sempadan negara – Hishamuddin

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Kerajaan tidak akan melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kawalan lebih ketat akan dilaksanakan di pintu masuk dan keluar negara, dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata mengambil kira perkembangan jangkitan varian Omicron, langkah kawalan tersebut perlu ditambah baik termasuk menyenaraikan lebih banyak negara berisiko tinggi.

“Setakat ini sebanyak 245 kes Omicron telah disahkan di Malaysia. Sebahagian besar kes jangkitan di negara kita ini masih lagi berpunca daripada kepulangan pengembara dari luar negara.

“Kita akan ambil langkah kawalan lebih ketat, tetapi PKP secara besar-besaran tidak akan dilaksanakan semula,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat kuatert menteri COVID-19 di sini hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat itu ialah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Saddique.

Hishammuddin berkata tumpuan kerajaan kini ialah kembali kepada usaha transisi ke arah endemik yang tertangguh akibat beberapa isu sebelum ini.

Katanya kerajaan juga memantau rapat status semasa pelaksanaan ‘Vaccinated Travel Line’ (VTL) dengan melihat ruang dan peluang untuk melaksanakannya dengan beberapa negara lagi termasuk Indonesia dan Thailand.

“Bagaimanapun ia bergantung kepada situasi COVID-19, bukan sahaja di negara-negara berkenaan tetapi juga di negara kita,” katanya.

Sementara itu, berkenaan prosedur operasi standard (SOP) sambutan Thaipusam dan Tahun Baharu Cina, Hishammuddin berkata pihak berkepentingan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang membuat penelitian peringkat akhir SOP dua sambutan itu.

Katanya, SOP bersesuaian untuk kedua-dua perayaan itu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh kementerian berkaitan.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

533
Kongsi :
Previous post PFAM hantar notis tuntutan gesa Melaka United FC lunas tunggakan gaji
Next post Kes Adib: Isu bidang kuasa koroner berkaitan prosiding komital diputus 8 Feb
Ubah saiz-+=