Tiada lagi pengumuman kes harian, elak gerun – Khairy
PUTRAJAYA 17 Feb – Laporan kes harian COVID-19 tidak lagi diumumkan bermula esok sebaliknya data itu dimuat naik pada jam 10 pagi keesokannya.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata statistik kes harian itu perlu dibaca dengan data lain supaya perinciannya dapat difahami keseluruhannya.
“Bermula esok (18 Februari 2022), bilangan kes harian COVID-19 tidak lagi akan diumumkan pada petang hari tersebut, ia akan diumumkan bersama dengan data-data yang lain pada pukul 10 keesokan harinya.”
“Ini adalah supaya kita dapat membaca data kes harian bersama data lain seperti kemasukan ke hospital untuk kita mengurangkan ‘fear factor’ (kegerunan) kes harian setiap hari,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.
Beliau berkata, langkah itu sebagai mendidik rakyat supaya membaca keseluruhan data daripada hanya melihat angka kes harian sahaja.
Jelasnya, amalan itu turut diamalkan negara lain contohnya Singapura yang mengumumkan kes harian mereka pada tengah malam setiap hari.
“Ini adalah perubahan budaya, jangan tunggu pukul 3 petang kenyataan Tan Sri (Noor Hisham Abdullah), perubahan (perlu dilakukan pada) tingkah laku dan ‘mindset’ (pemikiran) kita.
“Kita perlu baca sekali semua matrik dengan data lain agar dapat gambaran lebih jelas berkenaan dengan keadaan kemasukan ke hospital, ICU (Unit Rawatan Rapi), kematian, kategori dan sebagianya.
“Ia supaya kita secara perlahan mendidik masyarakat daripada hanya melihat kes harian kepada angka lain yang boleh memberi gambaran jelas dan teliti tentang keadaan sebenar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.