Tiada lagi pelukan dan ciuman ayah

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

JASIN 6 Jun – “Selepas ini saya pasti akan merindui ciuman dan pelukan ayah. Sudah kebiasaan ayah akan datang dan cium kami adik-beradik,” luah Munirah Ezuddin, 21, anak kepada pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Serkam Pantai, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi tadi suami isteri orang kurang upaya (OKU) bisu Ezuddin Mohammad, 50 dan Surayah Muhamat, 48, maut dilokasi kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Munirah, 21, yang juga anak kedua daripada enam beradik berkata, dia mengetahui kejadian menimpa ibu-bapanya itu menerusi aplikasi Whatsapp keluarga mereka pada jam 8 pagi.

“Kami agak pelik kerana bukan ibu yang hantar pesanan itu sebaliknya orang awam. Terdahulu telefon saya berdering namun tidak sempat diangkat.

“Sepanjang perjalanan ke lokasi kejadian saya berharap ibu dan ayah cuma terbabit kemalangan biasa atau individu yang menghantar Whatsapp berkenaan tersalah nombor.

“Namun sebaik tiba dilokasi kejadian apa yang kami lihat adalah tubuh ibu dan ayah sudah ditutup menggunakan kain. Mahu atau tidak kami terpaksa terima kenyataan,” katanya yang ditemui di Jabatan Forensik Hospital Jasin.

Menurutnya, dia tidak menyangka semalam adalah kali terkahir mereka tujuh beranak keluar dan menghabiskan bersama dengan bersiar-siar sekitar Bandaraya Melaka.

“Kami tidak pasti tadi ayah dan ibu sebenarnya hendak keluar bersarapan atau berjumpa rakannya bagi berbincang mengenai hasratnya untuk menjadi nelayan.

“Kebiasaan kalau mereka ingin bersarapan di Merlimau, ayah akan menghubungi bapa saudara kami tetapi hari ini tidak pula berbuat demikian.

“Ibu dan ayah memang tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma kebelakangan ini ayah gemar memakai baju bewarna putih,” katanya.

Menurut Munirah, dia agak terkilan kerana hasrat ibu dan ayahnya untuk menghuni rumah baharu mereka di Sebatu tidak kesampaian.

“Mereka berdua amat teruja untuk tinggal di sana dan rumah itu pun sudah siap 90 peratus malah ibu turut meminta saya menghias rumah itu secantiknya dan ibu juga ada memberitahu sudah membeli beberapa kelengkapan rumah.

“Saya harap pemergian ibu dan ayah mendapat keadilan yang sewajarnya, bukan seorang malah dua nyawa hilang. Tambahan adik-adik saya masih kecil selain kini kehilangan kasih sayang,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1230
Kongsi :
Previous post Lelaki positif ganja disyaki punca kemalangan babit lima kenderaan ditahan
Next post Reman pemandu rempuh pasangan OKU bisu, esok
Ubah saiz-+=