Sorting by

×

Tiada lagi kuarantin, 700 atlet bakal jalani latihan mulai 4 Januari

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR, 28 Dis – Atlet kebangsaan akhirnya dapat menarik nafas lega, apabila boleh memulakan latihan harian seperti biasa secara sepenuh masa dan bukan lagi latihan secara kuarantin, bermula Isnin depan.

Bagaimanapun Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin menegaskan bahawa, semua atlet membabitkan kira-kira 700 atlet Program Podium dan Pelapis, termasuk atlet para, perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

“Atlet di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, yang menjalani latihan secara kuarantin sejak Oktober, telah diberikan cuti bermula Khamis lepas hingga 3 Jan.

“Sejurus melapor diri ke pusat latihan pada 3 Jan, kita akan membuat ujian COVID-19 untuk melihat sama ada mereka mematuhi SOP atau tidak ketika bercuti. Mereka kemudiannya, boleh berlatih seperti biasa, bukan lagi kuarantin,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi bermula 1 Jan, kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, Jefri berkata MSN akan mengadakan bengkel bersama para persatuan sukan kebangsaan (NSA) pada akhir Januari, untuk membincangkan perancangan mengenai persiapan ke kejohanan utama seperti Sukan Olimpik, Paralimpik dan Sukan SEA pada 2021, diikuti Sukma, Sukan Komanwel dan Asia pada 2022.

Beliau berkata ketika ini, pihaknya masih menunggu jadual kejohanan yang bakal ditentukan persatuan sukan antarabangsa, dengan kejohanan peringkat antarabangsa dijangka kembali rancak secara berperingkat pada 2021 dengan penemuan vaksin, selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

“Buat masa ini, apa yang penting adalah bukan sahaja kejohanan yang bakal disertai, tetapi perancangan mereka sehingga 2022, termasuk latihan, latihan pendedahan (di luar negara), pendedahan pertandingan, kelayakan ke Olimpik dan sasaran.

“Tahun ini kita sudah membuat perancangan sehingga 2022 tapi pada masa itu kabur dengan COVID-19. Sekarang hala tuju lebih jelas dengan penemuan vaksin,” tambahnya.- BERNAMA

Views:

330
Kongsi :
Previous post Ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM14 juta dirampas
Next post ANULAE gesa kerajaan tarik semula dua Pekeliling Perkhidmatan Tahun 2020
Ubah saiz-+=