TIADA LAGI KERAGUAN MAKAN KUPANG, KERANG
MERLIMAU, 30 September – Rentetan pengumuman Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) tiada lagi larangan penuaian dan penjualan kerang-kerangan di perairan Melaka pada 10 Ogos lepas, telah memberikan kelegaan buat penggemar makanan laut tersebut.
Hasil tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Pasar Tani Merlimau mendapati, segelintir pengguna melahirkan rasa lega atas pengumuman dibuat DOF.
Bagi Salbiah ahmad, 57, berpendapat ia adalah berita baik buat masyarakat setempat kerana sebelum ini tular di laman sosial media mengatakan kerang dan kupang di Melaka tidak selamat, sekali gus mencetuskan kerisauan kerana ia boleh memudaratkan Kesihatan.
“Sebelum ini memang saya sekeluarga risau kerana pernah tular di sosial media mengatakan kerang dan kupang di Melaka sudah tercemar, namun menerusi Program Rasa-Rasa Akuakultur, Promosi Makan Kupang dan Kerang di Pasar Tani Merlimau, saya sekeluarga amat jelas dan lega dengan hebahan serta maklumat disampaikan.
“Saya memuji usaha Jabatan Perikanan Malaysia kerana anjurkan program sebegini, sekurang-kurangnya kami di peringkat masyarakat dapat disalurkan maklumat yang sahih dan lebih meyakinkan pengguna,” katanya.
Sementara itu Shafie Osman, 43, pula berpendapat, penganjuran Program Rasa-Rasa Akuakultur, Promosi Makan Kupang dan Kerang adalah medium terbaik dalam berikan keyakinan kepada masyarakat bahawa kupang dan kerang keluaran Melaka kini selamat dimakan.
“Secara peribadi, ini adalah usaha yang baik oleh Jabatan Perikanan Malaysia menerusi Pejabat Perikanan Negeri Melaka, program sebegini adalah penting bagi meyakinkan masyarakat tempatan bahawa tiada lagi keraguan untuk makan kupang dan kerang keluaran Melaka.
“Malah, promosi ini juga amat baik bagi membantu jualan pengusaha kupang dan kerang tempatan yang terjejas pada sepanjang tempoh larangan penjualan sebelum ini,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.