Tiada lagi ‘daddy joke’ untuk kami
MACHAP JAYA 19 April – “Peribadi ayah di dalam keluarga memang seorang yang tegas, tetapi dia memang seorang yang ceria dan suka buat lawak.
“Tetapi selepas ini, tiada lagi ‘daddy joke’ dari seorang ayah yang pergi secara tiba-tiba buat selama-lamanya,” luah Amirul Raziq Zaidi, 28.
Amirul Raziq merupakan anak sulung Allahyarham Datuk Wira Zaidi Johari, Setiausaha Kerajaan Negeri yang meninggal dunia pagi tadi.
Menurutnya, pemergian arwah bapanya itu adalah satu khabar yang mengejutkan selepas dimaklumkan ahli keluarganya sekitar jam 8 pagi tadi.
Dia yang bekerja sendiri di Seremban, Negeri Sembilan berkata, kali terakhir berjumpa dengan arwah bapanya ialah pada minggu lalu iaitu ketika Hari Raya Aidilfitri.
“Kali terakhir saya menghubunginya adalah menerusi aplikasi ‘Whatsapp’ kerana saya menetap di Seremban dan tidak tinggal bersamanya.
“Pemergian arwah ayah amat mengejutkan kerana tiada menunjukkan sebarang tanda-tanda, namun sebelum ini arwah selalu mengadu pada ibu yang dia ada sakit dada.
“Cuma arwah ayah tidak pernah ada rekod sakit jantung dan kami tidak menyangka arwah pergi secara mengejut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Amirul Raziq berkata, Syawal tahun ini merupakan kenangan terakhir mereka bersama Allahyarham apabila dapat berhimpun bersama seisi keluarga.
“Hari Raya Pertama kami sekeluarga berjumpa dan saya tidak sangka ia merupakan salam kemaafan terakhir bersamanya.
“Itu kenangan bersama kami pada Syawal ini dan ia juga merupakan lebaran terakhir kami bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.