![Whatsapp Image 2025 02 10 At 3.18.01 Pm](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-10-at-3.18.01-PM.jpeg?v=1739172071)
TIADA KOMPROMI TERHADAP KETIRISAN, SALAH GUNA KUASA – KM
BUKIT PALAH 10 Februari – Meningkatkan kecekapan dan ketelusan tadbir urus dalam perkhidmatan awam antara lima fokus utama perlu diberikan perhatian oleh warga kerja agensi agama bagi memantapkan pengurusan serta pentadbiran hal ehwal agama di negeri ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berikutan itu pentadbiran diterajui beliau tidak akan sesekali berkompromi dalam soal membabitkan ketirisan dan penyalahgunaan kuasa.
“Ini kerana ia bukan sahaja mencemarkan imej perkhidmatan awam malah secara tidak langsung menghakis kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan agensi agama.
“Kalau kita diberikan tanggungjawab dalam mengurus hal ehwal kewangan jangan kita banyak menggunakan muslihat-muslihat, ingat akan integriti kita sebagai orang yang bernaung di bawah lambang agama Islam,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Agensi Agama Islam Negeri Melaka Bilangan 1, Tahun 2025, di Auditorium Masjid Al-Azim, hari ini.
Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halem Tawil dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad.
Menurut beliau, kesemua ketua jabatan agensi agama diingatkan sentiasa memantau rapat dan menegaskan kepada seluruh kakitangan seliaan masing-masing supaya berintegriti, beretika serta bertanggungjawab dalam menjalankan amanah sepanjang bertugas.
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada Datuk Rahmad Mariman kerana dapat mengesan penyelewengan wang kutipan derma yang berlaku. Malah saya harap kita sama-sama dapat bermuhasabah diri dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.
Ab Rauf berkata, antara fokus lain yang perlu diberi perhatian adalah memainkan peranan lebih signifikasi dalam mengurus hal ehwal umat Islam dengan penuh integriti, profesionalisme dan bertanggungjawab.
“Saya tidak mahu lagi mendengar sebarang aduan yang mengatakan bahawa tiada kerjasama daripada pengurusan JAIM (Jabatan Agama Islam Melaka) berhubung anak-anak KAFA yang terpinggir daripada sebarang bentuk bantuan kebajikan.
“Fokus berikutnya adalah memperkasa sistem penyampaian yang lebih efisien dan berkesan, pemantapan mekanisme pengagihan bantuan kepada golongan tumpuan serta memperkasa program kebajikan sosial demi kesejahteraan ummah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.