Tiada kompromi rentas negeri 1 Ramadan
AYER KEROH 5 Mac. – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang cuba merentas negeri bagi menyambut awal Ramadan, dijangka pada 13 April ini.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, orang ramai mempunyai taktik termasuk menggunakan pelbagai alasan untuk merentas negeri bagi menyambut bulan puasa bersama keluarga di kampung.
Bagaimanapun katanya, PDRM akan meningkatkan sekatan jalan raya (SJR) di semua sempadan negeri pada setiap hujung minggu bagi membendung penularan COVID-19.
“Kita akan memperketatkan semua SJR dengan memastikan pemeriksaan rapi dijalankan supaya tidak ada mereka yang ambil kesempatan untuk merentas negeri pada Ramadan.
“Jika kita terjumpa, tiada lagi nasihat sebaliknya terus ambil tindakan undang-undang.
“Alasannya mudah, sebelum ini kita boleh capai jumlah jangkitan di bawah 1,000 kes, namun meningkat semula oleh kerana masih ada sikap masyarakat awam yang tidak mengedahkan arahan kerajaan,” katanya kepada media selepas melancarkan Program Satu Taman Satu Polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Ketua Penolong Pengarah Dasar Sumber JPJKK Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Saiman Kasran.
Zainal Abidin berkata, setakat ini pihaknya melakukan 35 SJR di semua sempadan negeri, namun akan ditingkatkan dari semasa ke semasa bergantung kepada jumlah kes harian COVID-19.
“Sekiranya kadar kebolehjangkitan meningkat, kita (PDRM) sendiri akan tambah (SJR) dan ketatkan kawalan, contohnya orang awam dibenarkan melakukan pergerakan dari Port Dickson ke Alor Gajah untuk urusan kerja sahaja, alasan lain tidak dibenarkan.
“Polis membuat kira-kira 30 hingga 35 SJR setiap hari dan kemungkinan hujung minggu akan bertambah.
“Untuk hari pertama Ramadan nanti kita lihat jumlah harian COVID-19 minggu ini, jika meningkat kita akan maklumkan kepada Menteri Kanan (Keselamatan) supaya SJR dipertingkatkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.