Tiada kompromi anggota, pegawai polis salah guna kuasa – KPN
SERI NEGERI 24 Ogos – Ketua Polis Negara, Tan Sri Datuk Seri Razarudin Husain @ Abd. Rasid kecewa dengan senario masa kini yang menyaksikan masih ada anggota dan pegawai polis terbabit dalam salah guna kuasa.
Beliau berkata, perkara yang melanggar undang-undang negara seperti penahanan 13 anggota dan pegawai di sebuah pusat hiburan sekitar Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini amat memalukan dan boleh menjejaskan nama baik pasukan keselamatan negara.
Tegas beliau, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas pegawai dan anggota yang terlibat dan mengenakan tindakan tatatertib walaupun belum dituduh di mahkamah.
“Kita telah tahan kerja mereka dan akan membincangkan tindakan kepada anggota dan pegawai ini yang terlibat dengan kes-kes serius walaupun belum dituduh mahkamah dengan menahan kerja mereka sejak awal lagi.
“Disebabkan perkara sebegini sepatutnya kita sebagai pihak polis dan pegawai perlu menjaga disiplin dan tidak menyalahgunakan kuasa dan terlibat dalam perkara yang tidak sepatutnya, untuk kes ini kita telah ambil tindakan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka Sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri ke-74 Tahun 2023, di Balai Istiadat Seri Negeri, di sini, hari ini.
Pada istiadat itu, Razarudin menjadi penerima tunggal Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) sekali gus membawa gelaran Datuk Seri.
Penganugerhan itu telah disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.