Tiada kluster ILI di Melaka
BUKIT PALAH 2 Julai – Tiada sebarang kluster berkaitan kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) melibatkan sekolah berasrama dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Melaka dikesan setakat ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Rusdi Abdul Rahman berkata, pada masa ini kes ILI adalah terkawal dan hanya terdapat 15 kes dikesan di negeri ini.
Katanya, orang ramai terutama ibu bapa tidak perlu bimbang memandangkan penyakit tersebut adalah jangkitan biasa.
“Buat masa ini kita belum ada lagi kluster di mana mana sekolah asrama atau IPT yg ada kluster ILI.
“Kes memang ada dilaporkan namun tiada peningkatan ketara yang dicatatkan, ini kerana perbandingan yang dibuat adalah berdasarkan tahun 2019 dan tahun 2022.
“Kerana pada tahun 2020 dan 2021 kes ILI terlindung dengan kes COVID-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Negeri Melaka 2022 di Hospital Melaka, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Negeri, Dr Zuraini Zainal, Timbalan Pengarah (Perubatan) 1 Hospital Melaka, Dr Sharifah Omar dan Ketua Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka Dr Nor Amiza Mat Amin.
Mengulas lanjut, Rusdi turut menafikan peningkatan kes demam yang meningkat kini adalah disebabkan kes ILI.
“Kes demam memang berlaku peningkatan, namun ia hanyalah demam biasa dan bukan kes ILI.
“Saya sarankan untuk semua pengusaha taska, ibu bapa dan orang awam untuk menjalankan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 bagi menghindari kes Influenza A dan Influenza B,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.