Sorting by

×

Tiada keterangan tunjukkan Samirah, dua remaja membunuh CEO Cradle Fund – Hakim

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SHAH ALAM, 21 Jun – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan keterangan yang menunjukkan bahawa Samirah Muzaffar dan dua remaja adalah orang terakhir bersama si mati, tidak boleh dikatakan menjurus kepada kesalahan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Nazrin Hassan.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman berkata keterangan itu mestilah mempunyai kesinambungan kepada Samirah, 47, dan dua remaja (kini berumur 19 dan 16 tahun) dengan kesalahan membunuh.

“Dalam kes ini tidak ada sebarang keterangan langsung yang menunjukkan ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan ini (membunuh) serta tidak ada kesinambungan antara masa-masa kejadian dengan ketiga-tiga mereka.

“Dengan itu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan hanya ‘mengandaikan’ sahaja, kebersamaan terakhir si mati dengan tertuduh dan dua kanak-kanak itu pada masa-masa yang dinyatakan dalam pertuduhan.

“Mengandaikan sahaja adalah satu syak wasangka, ia bukanlah satu keterangan pembuktian sebenar.

“Oleh itu, mahkamah mendapati bahawa pendakwaan telah gagal membuktikan teori orang terakhir bersama si mati,” katanya ketika membacakan penghakimannya selama satu jam.

Ab Karim juga berkata pihak pendakwaan ada menggariskan beberapa kelakuan-kelakuan yang menjadi sebahagian daripada keterangan.

“Perlakuan tidak menghubungi pihak bomba, tiada reaksi sedih, tidak meraung dalam van jenazah…semuanya lebih kepada persepsi pihak pendakwaan dan ia tidak berkaitan, malah ada sesetengah kelakuan itu tidak dapat dijelaskan melalui saksi-saksi pendakwaan.

“Begitu juga dengan tingkah laku kanak-kanak 1 yang tidak keluar rumah dan mesej whatsapp ‘what’s the plan’ tidak boleh diterima. Kelakuan kanak-kanak 2 pula, mengenai telefon meletup adalah tidak jelas,“ katanya.

Selain itu Ab Karim berkata mahkamah mendapati masa kejadian 1.30 pagi hingga 4 pagi, 14 Jun 2018 adalah bertentangan dengan keterangan daripada saksi-saksi pendakwaan dan tidak meyakinkan mahkamah.

Oleh itu katanya pendakwaan gagal menunjukkan kematian mangsa antara 11.30 malam 13 jun 2018 hingga 4 pagi 14 jun 2018 (seperti dalam pertuduhan).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

654
Kongsi :
Previous post Anjing liar ditangkap di Taman Sri Desa Bayu
Next post Fiesta Bendang kembalikan nostalgia lama
Ubah saiz-+=