Tiada kes culik, jual organ kanak-kanak – Bukit Aman
KUALA LUMPUR, 4 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan bahawa tidak ada kes penculikan dan penjualan organ kanak-kanak dalam negara bagi tujuan pemindahan organ di negara jiran yang diterima pihaknya.
Pengesahan itu dibuat oleh Ibu pejabat Polis Bukit Aman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan susulan penyebaran mesej palsu yang meminta masyarakat agar berwaspada terhadap kejadian berkenaan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM ACP A.Skandaguru berkata mesej itu juga mendakwa sekumpulan kanak-kanak turut diberi bahan terlarang, sehingga tidak mampu bercakap dan dibawa menaiki lori ayam bagi tujuan pemindahan organ di negara jiran.
Beliau berkata PDRM tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan penculikan serta penjualan organ kanak-kanak seperti yang didakwa, dan semakan mendapati mesej palsu itu telah tular sejak tahun 2017, yang kini diulang siar di beberapa platform media sosial.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mudah percaya dengan berita-berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Skandaguru berkata mana-mana individu yang dikesan menyebarkan berita-berita palsu, boleh disiasat dan didakwa mengikut seksyen 233 Akta Komunikasi 1988 atas kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.