Tiada kerajaan perpaduan, tiada pembangkang dalam Kabinet – PM
YAN 23 Ogos – Putrajaya tidak akan mewujudkan kerajaan perpaduan dengan meletakkan pembangkang bagi jawatan di peringkat Kabinet.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebarang kerjasama dengan pembangkang tidak bererti mereka perlu berada di dalam Kabinet.
“Dalam Kabinet tidak ada (jawatan kepada pembangkang). Tidak ada kerajaan perpaduan yang melibatkan parti pembangkang di dalam Kabinet. Tapi kerjasama tu bukan bererti mereka ada dalam Kabinet.
“Seperti yang saya sebutkan kalau betul-betul nak membantu selesai isu COVID-19, kita ada Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19 mereka boleh berada bersama beri pandangan idea mereka.
“Begitu juga pemulihan ekonomi, ada Majlis Pemulihan Ekonomi dan mereka juga diajak bersama. Jadi sama-samalah kita menyelesaikan isu paling besar iaitu COVID-19 dan pemulihan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja rasmi pertamanya sebagai Perdana Menteri hari ini dengan meninjau dan menziarahi penduduk terjejas dalam tragedi kepala air serta banjir lumpur di Yan, Kedah di sini.
Semalam, dalam Ucapan Khas Perdana Menteri Ismail Sabri menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19.
Tawaran itu, ujarnya selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.