Sorting by

×

Tiada isu potong barisan pemberian vaksin COVID-19 kepada Eina Azman, suami

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

IPOH 27 Mei – Tiada isu memotong barisan dalam pemberian vaksin kepada seorang artis wanita dikenali sebagai Datin Paduka Eina Azman dan suaminya Datuk Paduka Kaiser Gurmeet Abdullah di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kerana mereka dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi.

Pengarah HRPB Dr Abdul Malek Osman berkata, mengikut semakan, kelayakan pemberian suntikan vaksin kepada pasangan itu adalah berdasarkan kepada rujukan oleh doktor pakar yang telah merawat mereka atas masalah kesihatan dan komorbiditi dihadapi mereka.

“Pasangan ini dimasukkan dalam senarai penerima vaksin atas nasihat doktor pakar yang merawat kerana pesakit dikategorikan sebagai golongan berisiko tinggi.

“Pasangan ini menerima suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) HRPB pada Selasa lalu,” katanya dalam kenyataan, namun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai sebab pasangan itu menerimanya di PPV itu dan status penyakit kerana diletakkan dalam golongan berisiko.

Beliau berkata PPV HRPB menerima rujukan pesakit atau pelanggan daripada pelbagai fasiliti kesihatan dari dalam dan luar Perak.

Menurutnya, semua pesakit atau pelanggan yang dirujuk kepada PPV itu telah menjalani pemeriksaan awal ‘Pre Vaccination Assesment’ (PVA) yang hanya boleh didapati di Klinik-Klinik Pakar Perubatan Hospital.

“PPV, HRPB hanya memberi suntikan vaksin kepada pesakit atau pelanggan yang telah dirujuk dan tidak melakukan PVA tersebut di fasiliti PPV hospital ini,” katanya.

Dr Abdul Malek berkata pemberian suntikan vaksin bagi fasa kedua telah diberikan keutamaan kepada golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi serta golongan berisiko tinggi.

Katanya, selari dengan hasrat kerajaan untuk memberikan perlindungan kepada rakyat ketika negara berdepan penularan wabak COVID-19, orang ramai terutama golongan berisiko tinggi digalakkan membuat pendaftaran penerimaan suntikan vaksin melalui aplikasi MySejahtera atau dalam laman web http://www.vaksincovid.gov.my.

Semalam, gambar Eina Azman atau nama sebenarnya Ainur Syakina Azman, 26, bersama plakad ‘saya sudah divaksin’ yang dikongsikan menjadi tular, namun ibu kepada pasangan kembar berusia lima tahun itu dipercayai sudah memadamkan hantaran itu tidak lama kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Bernama memberitahu sesiapa yang mahu mendapatkan suntikan vaksin tidak perlu mendapatkan kebenaran rentas negeri dan hanya perlu menunjukkan surat janji temu atau menerusi aplikasi MySejahtera ketika pemeriksaan polis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

688
Kongsi :
Previous post Guru didakwa terima deposit haram RM284,200 daripada 12 individu
Next post Siti Nurhaliza, Menteri Agama antara dikompaun langgar SOP
Ubah saiz-+=