Sorting by

×

Tiada isu kekosongan jawatan Pengarah MSN Melaka – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BANDARAYA MELAKA 7 Mac- Kekosongan jawatan Pengarah Masjlis Suan Negara (MSN) Melaka sejak dua tahun lalu tidak merencatkan atau memberikan implikasi negatif kepada pembangunan dan perancangan sukan di negeri ini.

Menjelaskan isu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee, EXCO Sukan negeri, V P Shanmugam berkata sepanjang kekosongan, tugas bagi jawatan berkenaan dijalankan oleh tiga orang penyandang.

Beliau berkata, sebelum ini jawatan itu disandang Tan Gek Chu dari 5 Jan 2020 hingga 2 Ogos 2021, Ahmad Azlan Ahmad Salleh dari 3 Ogos hingga 4 Jan 2022 dan Mahathir Mustaffa dari 5 Jan 2022 sehingga sekarang.

Katanya, sebelum ini dua calon dicadangkan untuk mengisi jawatan itu, namun tidak melepasi kelayakan akademik dan pengalaman sukan ditetapkan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Jawatan Pengarah MSN tidak diisi secara hakiki selepas tempoh pinjaman Arrifin Mohd Ghani berakhir pada 5 April 2020, namun saya ingin tekankan disini tugas bagi jawatan itu dilaksanakan tiga penyandang.

“Tidak ada isu ‘political purging’ dalam hal ini seperti yang didakwa Chee Yee dalam laporan media semalam (6 Mac).

“Beliau pernah menjawat portfolio ini (Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan) dan sepatutnya lebih arif dalam hal ini, kalau nak tahu boleh tanya saya, bukan jadi hero di media elektronik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Melaka Esport Challenge 2022, di pusat beli-belah, di sini, malam tadi.

Semalam, Chee Yee dalam laporan sebuah portal berita meluahkan kekesalannya apabila perkara dalam perancangannya sebelum ini tidak dilaksanakan.

Memetik laporan, beliau menyatakan kekecewaan apabila kerajaan negeri tidak memberi keutamaan dalam melengkapkan struktur MSN berikutan jawatan pengarah kosong sehingga dua tahun dan hanya dipangku penyandang sahaja.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1156
Kongsi :
Previous post Penagih sanggup berhabis hampir RM1,400 sebulan beli dadah – Dr Akmal
Next post Permohonan permit umrah Ramadan dibuka – MoHU
Ubah saiz-+=