Tiada dendam, kami terus sokong parti
MELAKA 6 Nov – “Walaupun tidak tercalon namun saya terima keputusan pucuk pimpinan dan tidak berdendam,” kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Wira Ghazale Muhamad.
Menurutnya, biarpun tidak bertanding pada Pilihan raya Negeri (PRN) nanti namun beliau tetap bersemangat untuk bekerja dan menyokong jentera kempen Barisan Nasional (BN) sekali gus memenangkan calon baharu yang dilantik menggantikan beliau, Datuk Khaidhirah Abu Zahar.
“Sesiapa nama mereka yang tidak tercalon mungkin kecewa tetapi tidaklah sampai simpan dalam hati.. sekarang apa yang penting kita bekerja bersama-sama menguatkan jentera kempen parti.
“Segala rasa keluh kesah dan tidak puas hati kita tolak tepi, saya yakin, rasa kecil hati ini akan hilang sedikit demi sedikit nanti,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).
Ghazale antara 24 penyandang kerusi DUN negeri yang digugurkan untuk bertanding pada PRN pada 20 November ini bagi memberi laluan kepada muka-muka baharu yang diketengahkan oleh BN.
Selain Ghazale, turut digugurkan adalah bekas ADUN Kuala Linggi, Datuk Wira Ismail Othman, Datuk Wira Md Rawi Mahmud (Tanjung Bidara), Datuk Wira Amiruddin Yusof (Ayer Limau), Datuk Wira Latipah Omar (Taboh Naning), Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan (Asahan), Datuk Roslan Ahmad (Merlimau) dan Datuk Wira Hasan Abd Rahman ADUN Sungai Rambai.
Dalam pada itu menurut Ghazale, beliau tidak terlalu rasa kecewa sebab tidak tercalon kerana sudah bersedia menerima keputusan tersebut lebih awal.
“Rasa kecewa dan tidak puas hati banyak kedengaran di peringkat akar umbi dan sejak kelmarin, saya sudah pun bermesyuarat dan membuat penjelasan kepada mereka dan Alhamdulilah ada kalangan mereka yang keluh kesah sebelum ini sudahpun reda.
“Cuma ada sebilangan kecil yang masih tidak terima namun saya yakin dalam tempoh beberapa hari ini mereka akan terima hakikat dan boleh bersama-sama bekerja menguatkan jentera kempen parti,” katanya.
Pada masa yang sama beliau menasihatkan calon baharu yang dilantik bertanding PRN nanti agar tidak mengamalkan sikap `kacang lupakan kulit’ setelah tercalon dan melupakan jasa pihak yang menyokong mereka.
Sementara itu, Roslan yakin barisan calon baharu yang bakal bertanding pada PRN nanti mampu membawa perubahan lebih baik terutama dalam meningkatkan kualiti pembangunan masyarakat.
Katanya, beliau memberi jaminan akan terus berbakti dan menyokong penuh calon baharu yang dilantik mewakili DUN Merlimau demi memastikan kemenangan mutlak berpihak kepada BN pada PRN 20 November nanti.
“Kita ketepikan kepentingan individu, dahulukan keperluan parti kerana inilah perjuangan politik sebenar.
“Apa yang penting sekarang, kita menangkan calon BN, siapa pun calon yang diketengahkan pucuk pimpinan, kita tetap beri sokongan dan beri komitmen 100 peratus kepada kempen jentera parti,” kata beliau.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.