Tiada ‘bonus’ raya buat penjawat awam, pesara di Melaka – KM
AYER KEROH 25 April – Kerajaan negeri mengumumkan penangguhan pembayaran bantuan khas kewangan kepada penjawat awam serta pesara kerajaan di negeri ini sempena Aidilfitri tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, keputusan itu dibuat selepas melihat kepada kedudukan kewangan negeri yang semakin `susut’ selain faktor penularan wabak COVID-19 yang menghalang pelaburan asing ke negeri ini.
Menurutnya Melaka tidak seperti negeri Selangor dan Sabah yang mempunyai sumber kewangan kukuh dan mampu menyalurkan bantuan sehingga setengah bulan bonus.
“Namun ketiadaan pembayaran khas ini sedikit pun tidak hilang rasa hormat serta kebanggaan kerajaan negeri terhadap semua penjawat awam di Melaka yang banyak menabur jasa serta berkorban untuk pembangunan negeri.
“Sebelum ini kita sudah menyalurkan sumbangan one-off kepada mereka, termasuk pembayaran khas setengah bulan gaji, namun kali ini kita tak dapat buat pembayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bazar Ramadan Mega 2021 peringkat negeri di Dataran Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam tadi.
Katanya kerajaan negeri tiada hasil yang banyak dan beliau khuatir jika berjanji tetapi tidak dapat menunaikannya.
“Kita tiada hasil yang banyak, saya khuatir kalau berjanji nak beri tapi tak dapat tunaikan. Elok awal-awal saya kata tiada bonus (pembayaran khas) tahun ni, tapi jika ada rezeki menjelang Aidilfitri nanti, kita akan beri. Buat masa ni tiada,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abd Ghafaar Atan; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Datuk Shadan Othman.
Baru-baru ini Kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah serta RM250 kepada pesara kerajaan.
Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, pemberian itu akan turut membabitkan kakitangan lantikan kontrak, kontrak untuk perkhidmatan, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.