‘Tiada ajaran sesat baharu dikesan di Melaka’

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH 12 Ogos – Pemantauan berterusan dilaksanakan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk mengesan sebarang aktiviti atau gerakan baharu kumpulan ajaran sesat di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, pemantauan secara berkala itu dilaksanakan JAIM dengan kerjasama agensi serta jabatan yang berkaitan.

“Kita tidak menerima aduan mengenai ajaran sesat yang baharu setakat ini. Tetapi ajaran sesat yang kita kenal pasti sebelum ini yang pernah berlaku memang kita sentiasa membuat pemantauan.

“Pemantauan ini juga mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), begitu juga dengan ajaran sesat ‘Si Hulk’ membabitkan kumpulan remaja di Melaka, setakat ini tiada perkembangan baharu.

“Kalau ada memang kita akan terus ‘follow up’ dari semasa ke semasa, orang ramai tidak perlu risau kerana pemantauan pihak JAIM sentiasa dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Muzakarah Jawatankuasa Masjid dan Surau Negeri Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad dan lain-lain kenamaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

105
Kongsi :
Previous post Pelbagaikan aktiviti di masjid, surau – Rahmad
Next post Prihatin nasib mangsa banjir, Ketua Menteri hantar kit makanan
Ubah saiz-+=