Sorting by

×

Tiada aduan peniaga ‘ali baba’ di Melaka – EXCO

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 9 April – Melaka tidak menerima sebarang aduan wujudnya peniaga ‘ali baba’ atau mereka yang cuba mengaut keuntungan atas angin dengan menyewakan tapak perniagaan pada harga lebih tinggi sepanjang penganjuran bazar Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.

EXCO Kerajaan Tempatan Negeri Datuk Zaidi Attan berkata, jika dikesan terdapat urus niaga seperti itu dilakukan, pihaknya akan mengambil tindakan segera dengan menarik lesen mereka yang terlibat.

Katanya, untuk tahun ini anggaran harga tapak bazar Aidilfitri yang ditetapkan di Melaka ialah pada julat antara RM2,500 sehingga RM6,000, bergantung kepada kawasan.

“Alhamdulillah belum ada aduan kita terima, mungkin disebabkan tahun ini lebih banyak tapak bazar kita sediakan untuk peniaga-peniaga,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Bazar Aidilfitri Mydin Ayer Keroh, malam tadi.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu sampah di tapak bazar, Zaidi memaklumkan pihaknya kini sedang merangka kaedah pengurusan sampah baharu dengan melibatkan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang bergandingan bersama syarikat konsesi SWM dan SWCorp.

Katanya, kaedah itu bukan sahaja akan dipraktikkan di bazar Ramadan dan Aidilfitri, bahkan ia akan turut melibatkan tapak pasar pagi dan pasar malam seluruh negeri.

“Jadi dengan cara ini, sebaik sahaja tapak pasar atau bazar ditutup, akan ada pengumpulan sampah-sampah yang akan diuruskan sebelum sisa berkenaan dikutip secara menyeluruh.

“Jadi, kita berharap selepas ini sebaik sahaja tapak perniagaan ditutup, tiada lagi sampah akan ditinggalkan di kawasan itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

949
Kongsi :
Previous post Hanya satu juta umat Islam bawah 65 tahun dibenar tunai haji tahun ini – MoHU
Next post Will Smith dilarang hadiri Oscar selama 10 tahun
Ubah saiz-+=