‘Think tank’ ketengah hak wanita bersidang selepas raya – Kalsom
PENGKALAN BATU 4 Mei – Kumpulan ahli pemikir atau ‘think tank’ diwujudkan bagi mengetengahkan hak-hak wanita di negeri ini akan bersidang selepas sambutan Aidilfitri.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata kumpulan itu akan melibatkan golongan profesional seperti peguam dari luar Melaka.
Kalsom berkata, kumpulan itu akan duduk bersama dan berbincang mengenai cara untuk memperkasakan wanita khususnya di Negeri Melaka.
“Ini adalah visi saya untuk tahun 2023. Dalam ‘group’ ini melibatkan orang-orang profesional, kita baharu panggil sahaja, kita akan bersidang selepas habis Syawal ini dan perkara utama adalah tentang hak-hak wanita.
“Saya akan bercakap untuk wanita Melaka dan kita akan bawa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tan Sri Sharizat Abdul Jalil dalam perbincangan itu nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu anjurannya di Kompleks Japerun Pengkalan Batu, di sini, hari ini.
Rumah terbuka berkenaan diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Zaidi Johari, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Negeri Melaka.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.