The Hidden Via x Sanji, ‘port makan’ tersembunyi di Kota Laksamana

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat
KOTA LAKSAMANA 24 Dis – Siapa sangka di sebalik kesibukan dan kesesakan Bandar Melaka terdapat sebuah restoran ala barat yang tersembunyi dari mata kasar?
Terletak di Jalan Kota Laksamana, Melaka, restoran The Hidden Via Sanji ini akan memberikan kelainan buat pengunjungnya.
Mana tidaknya, jika dilihat pada luar kedai mesti disangka hanya bangunan pejabat biasa tetapi ia lebih dari itu.
Berkonsepkan tersembunyi dari pandangan orang luar, semestinya restoran ini akan menjadi ‘port’ mereka yang ingin berjumpa secara rahsia.
Menurut pemilik Restoran, To Chin Swee, 34 berkata, selain keunikan konsep ‘hidden’ itu sendiri, fokus utama yang ingin diketengahkan dalam restoran itu adalah penyatuan pelbagai bangsa dan peringkat usia di dalam satu restoran.
“Kalau di Eropah, kedai berkonsepkan hidden atau sembunyi ini sudah banyak, jadi menarik konsep itu diketengahkan menerusi sebuah restoran atau kedai makan.
“Meskipun konsepnya tersembunyi, namun restoran ini terbuka kepada semua lapisan dan golongan, makanan yang disajikan juga halal dan berpatutan.
“Saya nak jadikan restoran ini tempat penyatuan semua bangsa boleh duduk sekali, makan, lepak, borak, dan sebagainya, kita wujudkan konsep tersembunyi ini sebab ia lain dari yang lain,” katanya ketika ditemui di restorannya baru-baru ini.
PINTU tersembunyi untuk masuk ke restoran The Hidden Via x Sanji di Kota Laksamana.
Selain itu, Chin Swee yang lebih mesra dikenali dengan panggilan ‘Pakcik’ di TikTok berkata, bermula dengan hanya 69 pengikut, kelebihan tagline #KamiSempoi memberi lonjakan bilangan pengikutnya kepada hampir setengah juta.
Ia sekali gus memberikan idea untuk mengadakan pertemuan bersama pengikutnya di restoran tersebut.
Ujarnya, keputusan beralih daripada bidang pembuatan kotak kepada perkhidmatan ‘Food and Beverage’  bukanlah sesuatu yang mudah untuk diusahakan tanpa satu gabungan pasukan yang mantap.
Menurut anak kelahiran Telok Mas itu, konsep tersembunyi itu merupakan idea asal pemilik restoran yang lama namun dia hanya menambah baik konsep asal tersebut.
Ujarnya, nama terbaharu restoran itu adalah Hidden Via x The Sanji, di mana The Sanji merupakan gabungan enam Chef dan tukang masak yang terdiri daripada mereka yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang masakan.
ANTARA juadah istimewa, Spageti Aglio Olio Salted Egg dan Smoked Duck.
Seperti restoran biasa yang lain, restoran ini juga menjual pelbagai variasi kek sebagai pemanis mulut selain makanan berkonsepkan barat turut dijual di sini.
Buat anda yang suka bergambar dan gemar dengan tema retro ala-ala 80-an, setiap sudut dalam restoran ini sangat sesuai untuk kaki foto mengabdikan kenangan di sini. Boleh juga membuat kerja di sini, barulah kerja akan lebih efisyen dan tiada gangguan.
Siapa sahaja yang tak gemar berswafoto di restoran-restoran mahupun kafe ‘intsaworthy’?
Jika anda ingin singgah dan bersantai di restoran ini, operasinya adalah dari jam 12 tengahari hingga 10 malam setiap hari kecuali Isnin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4055
Kongsi :
Previous post Banjir: Mangsa di Melaka hanya tinggal 37 orang
Next post KM sempurna pelepasan misi bantuan pasca banjir ke Pahang
Ubah saiz-+=