Sorting by

×

Thaipusam: Jualan ‘belanga’ kurang sambutan

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat
BANDA HILIR 17 Jan – Permintaan terhadap ‘koodam’ atau belanga yang digunakan untuk upacara ‘Paal Koodam’ pada perayaan Thaipusam tahun ini merosot berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Hal itu diakui seorang peniaga di Little India, di sini, R Selva, 65 yang menyifatkan permintaan terhadap belanga semakin berkurangan selepas kerajaan mengumumkan prosedur operasi standard (SOP) yang masih ketat bagi perayaan tahun ini.
Katanya, sejak beberapa hari kebelakangan, hanya beberapa belanga sahaja dapat dijual kepada pelanggan.
“Saya buka kedai pagi tadi dan sampai tengah hari ini, hanya seorang pelanggan sahaja datang untuk membeli ‘koodam’.
“Begitulah jugalah hari-hari sebelumnya. Memang kurang pelanggan, tapi apa boleh buat.
“Mungkin disebabkan beberapa SOP yang perlu dipatuhi membuatkan permintaan semakin berkurang,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di premis perniagaannya, hari ini.
Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan hanya tiga kuil dibuka bagi perayaan Thaipusam di Melaka tahun ini.
Exco Perpaduan Ngwe Hee Sem berkata, tiga kuil itu ialah Kuil Sri Subramaniar Devasthanam Batu Berendam (daerah Melaka Tengah), Kuil Dewa Sri Bala Thendayuthabani Simpang Ampat (daerah Alor Gajah) dan Kuil Sri Subramaniar Sri Maha Mariamman Serkam (daerah Jasin).
Menurutnya, hanya upcara Paal Koodam dibenarkan dengan had kapasiti 50 peratus penganut pada satu-satu masa mengikut kapasiti rumah ibadat berkenaan.
Pelanggan, S.Sakthi, 18 memperagakan pakaian sari dan membawa ‘koodam’ atau belanga yang kebiasaannya digunakan bagi upacara ‘Paal Koodam’. Foto: Iqmal Haqim Rosman
Sementara itu, seorang pelanggan, S Sakthi, 18 yang ditemui ketika membeli kelengkapan menyambut Thaipusam berkata, walaupun terikat SOP tertentu, namun ia bukan penghalang untuknya dan keluarga menyambut perayaan berkenaan.
Katanya, istimewanya tahun ini, dia dan keluarga berpeluang melakukan upacara Paal Koodam di Batu Caves, Selangor.
“Kebetulan tahun ini umur saya sudah 18 tahun, jadi saya memang cukup syarat yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melakukan upacara itu di Batu Caves.
“Memang teruja, tetapi apa sekalipun, SOP mesti dipatuhi sepanjang upacara itu dan saya harap semua dapat patuh dalam usaha kita mengekang penularan COVID-19,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1076
Kongsi :
Previous post JPJ lancar ujian memandu e-testing April
Next post Imej dron kesan pembalakan jauh dari lokasi habitat harimau – JPNK
Ubah saiz-+=