Thailand, Malaysia digesa bekerjasama, teroka potensi ekonomi industri kreatif
BANGKOK, 23 Jun – Malaysia dan Thailand harus bekerjasama memanfaatkan potensi besar industri kreatif agar berupaya meningkatkan pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata industri kreatif dilihat semakin berperanan penting dalam menjana ekonomi serta mampu menyumbang secara signifikan kepada pendapatan negara.
“Malaysia dan Thailand mempunyai sejumlah besar produk kreatif yang perlu dimanfaatkan sepenuhnya agar ia dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
“Industri kreatif bukan sahaja sekadar mengisi masa lapang dan hobi semata-mata. Kita perlu mengubahnya untuk menjana pendapatan,” katanya.
Annuar yang sedang mengadakan lawatan kerja empat hari ke Thailand berkata demikian dalam program “Newsline” yang disiarkan Perkhidmatan Penyiaran Kebangsaan Thailand (NBT) pada malam Rabu.
Beliau turut menekankan mengenai peranan yang boleh dimainkan antara agensi komunikasi dan multimedia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala Kuala Lumpur-Bangkok.
Malaysia dan Thailand menikmati hubungan baik sejak sekian lama bukan sahaja antara kerajaan dengan kerajaan tetapi dalam kalangan rakyat kedua-dua negara.
“Kita perlu terus memperkukuh kerjasama. Kita seharusnya memperkayakan diri dengan menambah baik dan mencipta peluang melalui kerjasama.
“ASEAN, sebagai contoh, sebuah rantau yang mempunyai potensi besar dari segi ekonomi, budaya, pendidikan dan maklumat. Apa yang perlu kita lakukan ialah menggalakkan lebih banyak kerjasama dua hala dan pelbagai hala.
“Atas alasan itu, saya di sini (di Thailand). Saya ingin terus membina hubungan baik antara Thailand dan Malaysia kerana saya dapat meramalkan potensi besar dalam bidang ini demi kebaikan rakyat kita,” katanya.
Sementara itu, Annuar berkata Malaysia berminat untuk mengkaji semula beberapa memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan Thailand sejak beberapa tahun lalu demi mengeratkan lagi kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Saya memberitahu pegawai (saya) di pelbagai agensi untuk menyemak semula MoU itu. Memberi nafas baharu dan ia harus merangkumi pengalaman dan peluang terkini. Ia bukan sekadar dokumen tetapi (ia) perlu membawa (kerjasama) kita ke peringkat seterusnya,” katanya.
Beliau juga menggesa pemain industri di ASEAN untuk memanfaatkan pertumbuhan pesat dunia digital bagi memacu rantau ini maju ke depan.
“Di ASEAN, kita mempunyai orang yang kreatif, sumber dan segala-galanya. Mari kita satukan perkara ini dan menjadi sebahagian daripada pemain global,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.