Sorting by

×

Thailand kesan kes pertama kebarangkalian varian Omicron

Masa Membaca:59 Saat

BANGKOK, 6 Dis – Thailand hari ini melaporkan kes pertama kebarangkalian varian Omicron, melibatkan seorang lelaki Amerika yang dalam perjalanan dari Sepanyol.

Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr Suakit Sirilak berkata lelaki berusia 35 tahun itu disahkan positif pada 1 Dis dan kini menjalani rawatan di hospital.

Beliau berkata ujian saringan yang dijalankan ke atas lelaki itu menunjukkan 99.2 peratus positif untuk varian Omicron, tetapi beliau akan menjalani ujian lain.

“Lelaki itu telah mengambil langkah berjaga-jaga, jadi tiada kontak rapat dengan kes itu. Bagaimanapun, terdapat 19 orang termasuk kakitangan hotel dan lapangan terbang yang telah berhubung dengan lelaki itu.

“Pihak berkuasa kesihatan sedang menjalankan ujian lanjut terhadap mereka,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Dr Suakit menafikan laporan terdapat pesakit Afrika yang didapati positif Omicron.

“Pesakit menjalani saringan untuk varian Delta,” katanya.

Pada awal Disember, Thailand turut mengenakan larangan kepada kemasukan pelancong dari lapan negara Afrika berikutan penemuan varian Omicron.

Dalam tempoh 24 jam lepas, Thailand melaporkan 4,000 kes baharu COVID-19 dan 22 kematian, menjadikan lebih 2.1 juta kes dan 20,966 korban sejak wabak itu bermula tahun lalu.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

667
Kongsi :
Previous post SPRM lancar lima bilik gerakan beroperasi 24 jam sehari sepanjang PRN Sarawak
Next post PRN Sarawak: 12.9 peratus calon wanita
Ubah saiz-+=