Sorting by

×

TH tanggung lebih RM350 juta kos tunai haji tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

SEREMBAN, 28 April – Lembaga Tabung Haji (TH) menanggung lebih RM350 juta membabitkan kos langsung dan tidak langsung tunai haji menerusi Bantuan Kewangan Haji pada tahun ini, kata Pengurus Besar Pengurusan Haji TH Mohamed Heikal Mohamed Yusuff.

Beliau berkata kos tersebut melibatkan penerbangan, penginapan, sajian makanan dan pengangkutan serta pelbagai bayaran kepada pihak ketiga di Tanah Suci, selain penganjuran kursus, ubat-ubatan, perkhidmatan kesihatan serta operasi haji tanah air, di lapan stesen berlepas.

“Seperti tahun-tahun sebelum ini, TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji bersasar kepada golongan B40 dan M40, bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka.

“Walaupun kos meningkat saban tahun, namun semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH kekal komprehensif dan berada pada tahap tinggi demi menjaga kebajikan, keselesaan serta keselamatan jemaah haji Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Sembilan, yang dihadiri 1,130 bakal haji dan disempurnakan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun di sini hari ini.

Mohamed Heikal berkata penganjuran kursus berkenaan sebagai platform ulang kaji akhir sebelum bakal haji berangkat ke Tanah Suci, selain melatih mereka untuk bersedia menghadapi pelbagai situasi termasuk suasana tidak selesa dan serba kekurangan, semasa kemuncak haji nanti.

Dalam pada itu, Aminuddin menasihatkan bakal haji untuk sentiasa bersyukur dan melaksanakan ibadat haji dengan baik, kerana ia merupakan peluang sekali seumur hidup selain mengawal diri daripada melakukan perkara yang mencacatkan ibadat haji.

Beliau turut berharap supaya bakal haji mempersiapkan diri sama ada dari aspek mental, kekuatan fizikal dan kefahaman yang jelas berhubung manasik haji yang bakal dilakukan.

“Mereka juga diharap tidak berkongsi kelemahan pengurusan haji di Tanah Suci sekiranya ada, kerana ia tidak mendatangkan sebarang kebaikan.

Selain itu, saling membantulah di sana kerana dalam sesuatu kumpulan ada yang tua, muda dan tak ada tenaga yang kuat,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

319
Kongsi :
Previous post 95 peratus aduan masyarakat di Bemban selesai
Next post ‘Trail’ pelancong di Banda Hilir bermula Sabtu depan
Ubah saiz-+=