TETC WATER PARK SUDAH DIBUKA
RIM 16 November – Taman Tema Air Taman Ekstrem Tasik Chinchin (TETC Water Park) yang mula dibuka hari ini menerima sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar selain pengunjung tempatan dan luar Negeri Melaka.
Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datuk Mohd Saleh Jusman berkata TETC Water Park adalah salah satu daripada komponen dalam Taman Ekstrem Tasik Chinchin dikendalikan pihaknya.
Katanya, operasi taman tema air itu adalah dari jam 9 pagi hingga 10 malam dan mengikut perancangan hanya dibuka kepada umum pada setiap hujung minggu sahaja.
“Lokasi ini telah siap dibaik pulih dan menjalani proses tambah baik, kini dibuka kepada orang ramai, setiap dewasa atau kanak-kanak dikenakan bayaran RM5 seorang.
“Kita akan beri gelang untuk setiap kemasukan dan pengunjung boleh beriadah di taman tema air pada bila-bila masa selagi memakai gelang daripada pagi hingga 10 malam.
“Juga disediakan kolam kanak-kanak dan kolam renang dewasa bersaiz mini olimpik, dengan segala kemudahan disediakan, bayaran yang dikenakan ini adalah sangat berbaloi,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di TETC Water Park, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Saleh berkata pihaknya kini dalam fasa penambahbaikan aspek fasiliti yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa.
“Orang ramai dipelawa untuk datang beriadah di taman tema air, selepas ini mereka khususnya penduduk sekitar tidak perlu lagi pergi jauh untuk mandi-manda atau ‘healing’ kerana di sini ada semuanya,” jelasnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.