Teruskan semangat juang bawa pulang Piala Thomas – PM Ismail Sabri
BANGKOK, 12 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu skuad badminton lelaki negara meneruskan semangat juang membawa pulang Piala Thomas kembali ke tanah air dalam edisi 2022, di sini.
Ismail Sabri berkata beliau bangga dengan pasukan kebangsaan yang sedang berentap dalam kejohanan badminton berpasukan berprestij dunia itu, yang berlangsung di Impact Arena.
“Tahniah atlet badminton Piala Thomas kerana berjaya melangkah ke pusingan suku akhir selaku juara Kumpulan D selepas tewaskan Jepun di Impact Arena, Bangkok.
“Teruskan semangat juang untuk menjulang dan membawa pulang Piala Thomas yang prestij itu,” katanya di laman Twitter, hari ini.
Malaysia yang mengungguli Kumpulan D selepas menumpaskan juara 2014, Jepun, 3-2 pagi tadi dijangka membuat perhitungan menentang India yang turun selaku naib juara Kumpulan C pada peringkat suku akhir bermula 8 malam ini waktu Malaysia.
Jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia akan memulakan saingan malam ini menentang Lakshya Sen manakala juara Terbuka Jerman 2022 Hoh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus diberi kepercayaan turun selaku beregu utama menentang Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam perlawanan kedua.
Aksi ketiga pula melibatkan pertembungan antara pemain meningkat naik kebangsaan, Ng Tze Yong dan Srikanth Kidambi disusuli pertemuan Aaron Chia-Teo Ee Yi berdepan Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala.
Pemain muda, Leong Jun Hao pula dijadual turun selaku perseorangan ketiga dalam aksi terakhir menentang Prannoy H.S.
Skuad badminton lelaki negara memulakan cabaran pada saingan kali ini dengan menumpaskan England, 5-0, pada Isnin dan menundukkan Amerika Syarikat dengan keputusan yang sama sehari kemudian untuk mengesahkan slot ke suku akhir.
Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas adalah pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.