TERUSKAN MELAKA BILA LARUT MALAM
AYER KEROH 11 Disember – Inisiatif Melaka Bila Larut Malam mula menampakkan faedahnya apabila sebahagian besar pengunjung dan pelancong mahu ia diteruskan lagi sepanjang 2025 nanti.
Penganjuran inisiatif berkenaan tercetus hasil idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menawarkan harga tiket serendah RM10 di lokasi tumpuan pelancongan terpilih di Melaka pada Sabtu pertama setiap bulan.
Penganjurannya bermula Jun lalu, bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan malah memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat melawati lokasi pelancongan utama di negeri ini.
Bagi pengunjung Bila Larut Malam Night Safari, Intan Salwana Mohd Nasir, 34, berkata, program yang diilhamkan Ketua Menteri amat membantu rakyat khususnya dalam kalangan B40 untuk bersantai bersama keluarga pada hujung minggu.
“Golongan B40 seperti saya menganggap inisiatif ini amat berfaedah, tiket masuk dikenakan tidak membebankan. Jadi saya berharap agar program Melaka Bila Larut Malam ini dapat diteruskan lagi pada tahun hadapan terutamanya kemasukan ke Zoo Melaka.
“Bagi saya zoo adalah tempat ‘mesra’ keluarga kerana sesuai untuk semua peringkat umur selain anak-anak dapat menambah pengetahuan tentang sifat haiwan,” katanya ketika ditemui di Zoo Melaka.
Menurut Intan Salwana, melawat zoo pada waktu malam menawarkan suasana dan pengalaman yang berbeza serta dianggap lebih menarik.
“Bukan sahaja anak malah saya sendiri teruja dengan suasana malam di zoo, ditambah pula dapat melihat haiwan-haiwan yang bergerak aktif. Memang berbeza suasana masuk ke zoo pada waktu malam berbanding siang hari,” katanya yang menetap di Machap.
Seorang lagi pengunjung, Haslinda Hashim, 47, dari Duyong, turut menyuarakan hasrat sama kerana baginya Melaka Bila Larut Malammemberi peluang kepada ibu bapa membawa anak-anak bersiar-siar di malam minggu.
“Dengan adanya tawaran ini dapat menjimatkan kos untuk bersantai terutama keluarga yang besar. Malah inisiatif ini juga menjadi tarikan untuk menggamit ramai pelancong datang ke Melaka untuk bercuti dan merasai pengalaman suasana melancong lewat malam.
“Pada edisi sebelum ini saya sudah ke beberapa lokasi lain dan suasananya amat meriah, oleh itu saya amat berharap supaya Melaka Bila Larut Malam ini diteruskan lagi untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.