Teruja vaksin sebab hendak pergi sekolah selamat dan boleh ‘dine-in’
TELOK MAS 13 Okt – “Saya memang teruja untuk mendapatkan vaksin sejak kerajaan benarkan remaja umur bawah 18 tahun divaksin kerana boleh ‘dine-in‘ dan mahu rasa selamat.”
Itu kata pelajar Tingkatan Lima Kolej Vokasional Melaka Tengah, Adriana Natasha Jufri, 17, ketika ditemui pada Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) 2.0 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu, di sini, hari ini.
Dia antara 60,000 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di negeri ini yang menerima suntikan dos kedua dalam program berkenaan.
Katanya, dia tidak sabar menunggu tempoh matang selama dua minggu yang membolehkan pelbagai keistimewaan dinikmati termasuk memasuki premis belah-belah dan makan di restoran.
“Hari ini saya bangun awal pagi sebab mendapat tarikh sama dengan adik yang berusia 16 tahun untuk dos kedua vaksin hari ini,” katanya.
Bagi Nazmi Aiman Johari, 17, yang menuntut di kolej sama berkata, sebaik kerajaan mengumumkan kebenaran menerima vaksin bagi remaja di bawah umur 18 tahun, dia terus mendaftarkan diri dalam MySejahtera.
“Saya mahu ambil vaksin sebab mahu rasa selamat pergi ke sekolah selain boleh makan secara ‘dine-in‘ di kedai,” katanya.
Sementara itu, bagi Muhammad Ashman Hakim Muhamad Abduh, 17, pada mulanya dia agak berdebar kerana bimbang berlaku kesan sampingan selepas mengambil vaksin.
Bagaimanapun katanya, selepas suntikan pertama di Dewan Tun Ali awal bulan lalu, tiada sebarang kesan sampingan dialami, malah teruja untuk melengkapkan dos kedua.
“Mula-mula memang ‘nervous‘ tapi setakat ini tiada kesan sampingan, jadi saya rasa ‘okay‘ sahaja,” katanya.
Muhammad Syamir Sabarudin, 17 turut meluahkan rasa sama namun sentiasa mengingatkan dirinya untuk berikhtiar melindungi diri sendiri dengan mengambil vaksin.
“Sebaik kerajaan umumkan remaja bawah 18 tahun diberikan vaksin, saya terus mendaftar diri dalam aplikasi supaya tidak mahu ketinggalan untuk melindungi diri,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.