Sorting by

×

Teruja lihat orang ramai ‘berkubang’ di bendang

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

SUNGAI RAMBAI 11 Ogos – “Melihat orang ramai bermain sukan di bendang ia sesuatu yang menarik dan mengujakan.

“Malah bagi saya Festival D’Bendang sememangnya amat berlainan dengan festival yang pernah saya kunjungi sebelum ini,” itu kata pengunjung Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) @ Festival D’Bendang Melaka 2024, Rafidah Rahman.

Rafidah, 46, berkata, penganjuran festival seperti ini memberikan pengalaman baru buat pengunjung kerana mengetengahkan konsep berbeza daripada kebanyakkan program.

“Tidak hairanlah di bahu jalan sepanjang laluan masuk ke sini dipenuhi kereta. Walaupun hujan ia tidak menjadi halangan kepada orang ramai untuk hadir ke Festival D’Bendang ini.

“Ini kunjungan pertama saya ke sini bersama anak dan ia memberikan pengalaman menarik apabila semua peringkat usia bersama-sama menyertai aktiviti sukan dipertandingkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Mini KUD @ Festival D’Bendang Melaka 2024, hari ini.

Terdahulu majlis perasmian disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi dengan diiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rambai Siti Faizah Abdul Azis.

Rafidah yang menetap di Bertam berkata, pengumuman dibuat Timbalan Perdana Menteri yang inginkan Festival D’Bendang Melaka menjadi program tahunan adalah berita baik buat rakyat Melaka dan juga pelancong.

“Jika sebelum ini pengunjung hanya tertumpu di kawasan Banda Hilir tetapi dengan adanya festival sebegini ia memberi ruang untuk pelancong merasai suasana kampung.

“Malah ini juga akan membuatkan pengunjung mempunyai lebih banyak pilihan lokasi untuk berkunjung malah memberikan suasana percutian dalam suasana kampung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

304
Kongsi :
Previous post MATTA fokus aktiviti ‘island hopping’ di Taman Laut Melaka
Next post Mini KUD @ Festival D’Bendang jadi program tahunan semarakkan pelancongan
Ubah saiz-+=