Sorting by

×

Teruja dapat pilih sendiri ‘baju raya’ baharu sambut Deepavali

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

BANDARAYA MELAKA 18 Oktober – Keterujaan nyata terpancar pada setiap wajah anak daripada keluarga kurang kemampuan apabila diberi peluang memilih sepasang pakaian baharu sendiri untuk menyambut pesta cahaya minggu depan.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam berkata, seramai 50 kanak-kanak dari Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seluruh negeri diberi peluang memilih pakaian baharu tanpa had harga di sebuah kedai pakaian di Little India, Jalan Bendahara, di sini hari ini.

“Program yang diadakan ini merupakan kesinambungan kita menyambut perayaan Deepavali membabitkan golongan kurang kemampuan menerusi kerjasama kerajaan negeri, Majlis Kelab Bell Belia Tamil Negeri Melaka dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

“Program yang dirangka khas ini adalah untuk memberi peluang kepada mereka yang kurang kemampuan yang tidak sempat membeli pakaian baharu sempena Deepavali akibat kekangan kewangan yang dimiliki.

“Jadi kali ini kita memberikan peluang kepada mereka memilih jenis pakaian apa yang mereka mahukan untuk dipakai semasa perayaan itu minggu hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni anak murid terlibat pada program diadakan itu.

Terdahulu, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama Isteri, Datin Seri Utama Munira M Yusop turut menyantuni dan membantu untuk memilih pakaian kanak-kanak berkenaan.

Sementara itu, ibu kepada seorang penerima, D Manju,42, meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak terlibat di atas kesudian memberikan bantuan kepada anaknya, H. Kumar, 11 yang masih belum mempunyai pakaian baharu untuk menyambut Deepavali.

“Saya ucapkan terima kasih terutama wakil rakyat terlibat di atas sumbangan yang diberikan dan ia begitu bermakna sekali kepada kami demi menyambut perayaan ini.

“Biarpun perayaan kali ini disambut sederhana kami sekeluarga tetap akan meraikannya dengan semangat baharu kerana tahun ini kali pertama kami menyambut dengan penuh bermakna selepas mendepani cabaran COVID-19,” katanya.

WhatsApp Image 2022-10-18 at 7.02.06 PM
P. Partasarathi, 36

Pada masa sama, guru SJKT Ladang Gadek, P. Partasarathi, 36 meluahkan syukurnnya selepas empat anak murid sekolahnya yang terdiri dalam kalangan keluarga yang kurang kemampuan diberi perhatian demi menyambut perayaan itu.

“Terima kasih saya ucapkan kerana akhirnya ada juga pihak yang memberi perhatian kepada murid di sekolah saya dan ini merupakan peluang terbaik dan perlu diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Meluahkan perasaan sama, N. Tinallan,12 turut teruja apabila mendapat pakaian yang diimpikannya untuk dipakai menjelang Deepavali minggu depan.

“Terima kasih, kami semua sangat suka akan pemberian ini dan ini merupakan pengalaman terbaik dalam hidup saya apabila hari ini saya diberi peluang beramah bersama Ketua Menteri Melaka ketika memilih pakaian di kedai ini,” katanya.

WhatsApp Image 2022-10-18 at 7.02.34 PM
N. Tinallan

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2245
Kongsi :
Previous post Lencong aliran Sungai Melaka, elak banjir
Next post BN putuskan selepas PRU15 jika perlu gabung parti lain untuk bentuk kerajaan – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=