Teruja balik kampung selepas dua tahun
AYER LIMAU 1 Mei – “Sudah dua tahun saya tidak dapat pulang ke kampung halaman di Kampung Paya Lebar, dekat sini dan peluang dapat pulang kali ini akan kami manfaatkan untuk mengeratkan silaturahim dengan saudara mara,” kata Abdul Rahim Jaafar.
Bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berkata, kerinduannya terhadap kampung halaman selepas dua tahun tidak pulang, terlerai hari ini.
Abdul Rahim bersama-sama 10 anggota keluarganya kembali ke kampung halamannya semalam sebelum berusaha mendapatkan daging lembu dan kerbau serta itik untuk dimasak rendang hari ini.
Dia berkata, selepas bersara beberapa tahun lalu, dia dan isteri pertama bersama-sama lima anak serta isteri kedua bersama-sama tiga anak menetap di Manjong, Perak.
“Seorang anak saya bertugas di Johor Bahru, Johor manakala baki anak kami tinggal serumah dengan saya bersama ibu masing-masing.
“Sudah dua tahun kami tidak kembali ke kampung asal saya di sini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 dan tahun lalu,” katanya.
Katanya, sebaik sahaja kerajaan mengumumkan negara memasuki Fasa Peralihan Endemik bermula 1 April lalu, dia dan anggota keluarga amat teruja untuk menjejakkan kaki ke kampung halamannya.
Sepanjang dua tahun tidak mampu pulang, dia dan anggota keluarga melepaskan kerinduan terhadap anggota keluarga dan saudara mara di Kampung Paya Lebar melalui panggilan telefon.
“Alhamdulillah, sekarang kita tidak perlu lagi berkurung seperti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini dan inilah peluang untuk kami melepaskan kerinduan terhadap kampung halaman,” katanya.
Untuk menyambut Aidilfitri, Abdul Rahim memilih untuk menikmati rendang itik yang dimasak dengan cili padi, iaitu makanan tradisi anggota masyarakat di kawasan ini.
Katanya, Aidilfitri kali ini terasa lebih meriah dan menggembirakannya kerana berpeluang bertemu sanak saudara berbanding terpaksa berhari raya di perantauan tahun lalu dan tahun sebelumnya.
“Dua tahun tidak dapat pulang berhari raya ibarat 20 tahun rasanya tetapi segalanya bukan kehendak kita kerana yang menurunkan pandemik COVID-19 dan yang menariknya kembali ialah Tuhan yang maha esa.
“Saya memberitahu anak saya, kita harus bersyukur kerana penyakit itu semakin berkurangan hasil daripada usaha kerajaan memberi vaksin kepada rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.