Tertekan pedal minyak, MPV rempuh medan selera
KLEBANG 27 Ogos – Pelanggan yang sedang menikmati makan tengah hari di Medan Selera Tanjung Kling cemas apabila sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) tiba-tiba mengundur dan merempuh premis terbabit, dalam kejadian petang semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 2.40 petang itu bagaimanapun tidak membabitkan kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu MPV Toyota Avanza iaitu remaja lelaki berusia 16 tahun diminta oleh ibunya untuk memanaskan enjin kenderaan terbabit.
Beliau berkata, bagaimanapun ketika berada di dalam kereta dan sedang memanaskan enjin remaja terbabit dipercayai tertekan pedal minyak serta mengubahnya kepada gear mengundur.
“Akibat daripada itu MPV terbabit mengundur secara mengejut dan kejadian turut menyebabkan kenderaan itu melanggar Proton Suprima yang diparkir disebelahnya.
“Akibat daripada kejadian itu juga Toyota Avanza terbabit turut merempuh beberapa pelanggan medan selera terbabit termasuk kanak-kanak,” katanya.
Menurutnya, susulan kejadian itu pihak polis juga sudah mengambil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari medan selera itu untuk tindakan lanjut.
“Kami difahamkan ada yang cedera namun belum tampil membuat laporan.
“Selain siasatan lanjut berhubung kejadian akan dilakukan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.