Tersangkut jaring punca ikan lumba-lumba mati
PANTAI KUNDOR 12 Jun – Tersangkut pada pukat dikenal pasti punca ikan lumba-lumba mati sebelum bangkainya terdampar di Pantai Rombang, Pantai Puteri, di sini petang semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Solehon berkata, siasatan pegawai jabatan itu lewat petang semalam mendapati ada kesan kecederaan pada kepala ikan itu yang dipercayai akibat terkena jaring atau pukat nelayan.
Katanya, ikan lumba-lumba spesies ‘sousa chinensis’ itu lebih dikenali dalam kalangan pengkaji ikan sebagai ‘indo pacific hump
backed dolphin.’
“Siasatan mengesahkan ikan itu berusia kira-kira 15 tahun dengan berat 250 kilogram dan panjang 2.55 meter serta ada kesan kecederaan pada kepalanya, besar kemungkinan tersangkut pada jaring.
“Selat Melaka adalah laluan atau perairan populasi ikan lumba-lumba dan lazimnya mereka berenang dalam kumpulan antara lima
hingga 20 ekor,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, spesies itu boleh dikesan dalam jarak lima batu nautika dari pantai dan mempunyai jangka hayat 30 tahun.
Species berkenaan dilindungi mengikut Akta Perikanan 1985 dan sesiapa yang menangkapnya boleh dikenakan tindakan mengikut akta berkenaan.
“Jabatan ini amat berharap orang ramai, terutama nelayan mampu memberikan kerjasama dalam usaha melindungi spesies itu daripada pupus,” katanya.
Beliau berkata, ikan berkenaan ditanam di lokasi yang dirahsiakan bagi mengelakkan pihak tertentu mencuba mengambil organ dalamannya.
Dalam kejadian jam 4 petang semalam, ikan itu dijumpai dua nelayan, Muhammad Saiful Safuan Mad Aris, 25, dan Rahmad Khamis,
37, ketika ingin menolak perahu turun ke laut.
Mereka terpaksa menarik bangkai ikan itu jauh dari gigi pantai bagi mengelakkannya dihanyutkan ombak dan arus deras.
ARTIKEL BERKAITANÂ Ikan lumba-lumba 200 kg ditemui mati di Pantai Puteri
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.