
TERPESONA SUASANA KAMPUNG DI MACHAP JAYA
MACHAP JAYA 2 Mac – Peserta Lestari Run Machap Jaya 2025 mahu penganjuran itu dijadikan sebagai acara tahunan selepas terpesona dengan suasana kampung dinikmati mereka bermula dari garisan permulaan hingga penamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap Jaya, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, peserta yang ditemui memberikan maklum balas yang amat positif dan secara keseluruhan amat berpuas hati dengan perjalanan program itu.
Hee Sem yang juga Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri berkata, penganjuran berlangsung pada 23 Februari lalu secara keseluruhan melibatkan lebih 800 peserta sekitar Melaka dan beberapa negeri lain.
“Mungkin tidak ada halangan untuk diangkat sebagai acara tahunan, cadangan berkenaan juga selaras dengan hasrat kami untuk mempromosikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahcap Jaya sebagai destinasi pelancongan menawarkan suasana kampung.
“Pada siri akan datang kami bercadang untuk anjurkan program ini pada skala lebih besar dan menawarkan hadiah lebih menarik, kami juga akan melihat jika ada kelemahan untuk diperbaiki selain tempoh pendaftaran dilanjutkan lagi supaya lebih ramai dapat turut serta,” katanya.
Menurutnya, penganjuran lalu turut menarik perhatian peserta orang kurang upaya (OKU), sekali gus membuka ruang untuk golongan itu bersama-sama membudayakan amalan gaya hidup sihat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.