Terpaksa ‘kongsi’ ayam, elak bekalan terputus
PENGKALAN BATU 22 Mei – Bekalan ayam di pasaran didakwa akan terputus sekiranya permintaan bahan mentah itu semakin tinggi memandangkan pada tempoh ini berlakunya kekurangan bekalan kira-kira 50 peratus.
Tinjauan Melaka Hari Ini di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mendapati bekalan ayam masih ada dan dijual kepada pelanggan.
Menurut peniaga Hamzah Osman berkata, bagi mengelakkan bekalan ayam terputus dan ada pembeli yang tidak dapat membeli dia mengambil pendekatan ‘mencatu’ jualan ayam kepada pelanggan.
Katanya, untuk waktu ini bekalan ayam diperolehnya berkurangan kira-kira 50 peratus dan jumlah itu amat banyak walaupun pada masa sama perlu memenuhi permintaan yang tinggi.
“Kalau boleh kita tidak mahu ada pembeli yang tidak dapat ayam, contohnya kalau mereka mahukan 20 kilogram (kg) kita akan bagi 10kg sahaja.
“Kita anggarkan sekarang berlaku kekurangan 50 peratus jadi kena pandailah bagi pastikan semua dapat. Semalam dan kelmarin ayam habis terjual tidak sampai empat jam mungkin banyak adakan ‘open house’,” katanya.
Menurutnya, berbanding ikan, ayam menjadi makanan utama pilihan ramai jadi apabila berlaku kekurangan bekalan banyak pihak yang terkesan.
“Ayam makanan utama apabila berlaku kekurangan seperti ini semua terasa.
“Jadi kerajaan perlu lakukan sesuatu atau hubungi pembekal untuk selesaikan perkara ini supaya tidak berlanjutan,” katanya.
Bagi seorang lagi peniaga, Amin Maarop berkata, sepanjang 35 tahun berniaga ayam, ini kali pertama dia berdepan dengan kekurangan bekalan di pasaran.
Katanya, kekurangan bekalan mula dikesan sebelum Syawal namun ia semakin terjejas apabila berkurangan hampir 50 peratus.
“Semalam boleh katakan ramai peniaga ayam habis awal kerana pembekal maklum ayam tiada dan kita peniaga tidak dapat berbuat apa-apa.
“Dengan bekalan yang adakan kita cuba utamakan pelanggan tetap kebanyakkan peniaga makanan tetapi sekiranya pelanggan mahukan dalam bilangan yang sedikit kita masih jual seperti biasa,” katanya.
Katanya, kerajaan perlu mengambil pendekatan dalam menstabilkan semula bekalan ayam di pasaran seperti sebelum ini.
“Sekiranya makanan ayam naik, kita kena ikut. Situasi menang-menang diperlukan.
“Kalau tidak kami perniaga juga akan terjejas sekiranya bekalan terus berlaku. Sekarang ini modal kita hampir dengan harga syiling ditetapkan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, bagi pembeli Ahmad Zainal Abidin, 59, berkata, dia yang kebiasaannya membeli bekalan ayam di Durian Tunggal terpaksa ke Pasar Besar MBMB kerana ketiadaan bekalan.
“Saya awalnya ke Durian Tunggal tetapi tiada, banyak tempat juga tiada mujurlah sampai di sini bekalan ayam ada.
“Risau juga kerana saya fikir di sini pun tiada itu yang mencuba nasib, alhamdulillah masih ada ayam di sini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.