Sorting by

×

Terowong ‘angker’ dikhuatiri ancam penduduk

Masa Membaca:2 Minit, 14 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Feb – Suram, gelap dan menakutkan. Itulah situasi yang terpaksa dilalui penduduk Kampung Bukit Palah di sini, setiap kali menggunakan terowong untuk melintasi Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) untuk ke Masjid Al Azim dan premis sekitarnya.

Situasi itu terpaksa dilalui mereka pada setiap hari dipercayai sejak bertahun-tahun lamanya.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati kemudahan terowong di situ telah dilengkapi kemudahan asas seperti lampu, namun kebanyakannya sudah rosak.

MELAKA 23 FEBRUARI 2022. Penduduk, Samsul Bahari, 53 menggunakan terowong pejalan kaki di Kampung Bukit Palah bagi melintasi Lebuhraya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) untuk ke Masjid Al Azim dan premis sekitarnya. Foto Iqmal Haqim Rosman

Masalah itu menyebabkan keadaan sekitar terowong kelihatan suram dan menakutkan sekali gus mengancam keselamatan penduduk yang melalui terowong yang jaraknya kira-kira 50 meter ke Masjid Al-Azim.

Lebih membimbangkan, terowong berkenaan didakwa sudah mula menjadi tumpuan gelandangan.

Selain gelap, keadaan laluan pejalan kaki terowong juga agak kotor dengan sisa sampah dan ditakungi air kesan daripada kejadian banjir kilat yang melanda kawasan itu baru-baru ini.

Susulan itu, penduduk setempat khususnya golongan warga emas yang berulang-alik ke Masjid Al Azim merayu keperihatinan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit agar menyelenggara dan menambah baik kemudahan terowong tersebut dengan segera.

Salah seorang penduduk Bukit Palah yang ditemui, Ahmad Alijah, 55, berkata, dia kerap menggunakan terowong di situ untuk ke masjid pada siang hari namun memilih melintas lebuh raya pada waktu malam disebabkan keadaan terowong yang agak gelap.

“Siang hari tiada masalah sebab walapun terowong agak suram namun keadaannya masih terang tetapi bila waktu malam, keadaan sekitar terowong agak menakutkan kerana suasana sekelilingnya agak sunyi dan gelap.

“Sebab itu, kalau lepas solat Isyak, pak cik memilih untuk melintas lebuh raya kerana bukan sahaja takut dengan keadaan gelap sekelilingnya, pak cik bimbang diancam oleh individu yang sering melepak dalam terowong pada waktu malam,” katanya.

Keadaan dalam terowong yang ditakungi air dan dipenuhi sampah-sarap. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pesara itu juga berharap agar PBT terbabit dapat meningkatkan kerja penyelenggaraan pada terowong tersebut terutama memastikan kemudahan lampu di situ berfungsi dengan baik, sekali gus menerangani laluan terowong pada waktu malam.

Bagi Rahimah Alaudin, 38, keadaan terowong yang agak gelap dan menakutkan sewajarnya diberi perhatian oleh PBT terlibat kerana dibimbangi mengundang jenayah seperti kes ragut serta rogol.

“Situasi ini sering menghantui penduduk di sini setiap kali anak-anak kami mahu menggunakan terowong untuk menyeberang lebuh raya.

“Sebaiknya tindakan mencegah perlu dilakukan segera bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku pada masa akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1711
Kongsi :
Previous post COVID-19: Hishammuddin jalani rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan
Next post COVID-19: Melaka nafi penggunaan katil ICU lebih 50 peratus
Ubah saiz-+=