Sorting by

×

Teroka tiga muzium serendah RM10

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

BANDA HILIR 5 Julai – Bagi mereka yang ingin mengenali Melaka, bolehlah berkunjung ke Muzium Sejarah dan Etnografi di Bangunan Stadhuys yang mempamerkan pelbagia bahan dan artifak padat dengan maklumat mengenai negeri ini bermula dari sejarah pembukaannya.

Bangunan warna merah dua tingkat seluas 49,200 kaki persegi di Banda Hilir ini umpama gerbang buat pelancong mendapatkan maklumat mengenai Negeri Melaka.

Pembantu Operasi Muzium Sejarah, B.H Ahmad Sabri Epit berkata, bangunan itu sebelum ini pernah menjadi pusat pemerintahan Belanda pada era 1650-an.

Katanya, pameran dan artifak yang tersimpan di bangunan itu adalah bermula dari zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga ke zaman penjajahan Inggeris.

“Suatu ketika dahulu bangunan ini adalah sebuah bangunan yang dicat dengan warna putih merupakan lokasi pentadbiran dan menempatkan gabenor Belanda pada zaman penjajahan itu.

“Ketika ekskavasi dan cari gali dilaksanakan sebelum bangunan ini dibuka sebagai muzium kita menemui sistem perparitan bawah tanah, sekali gus menambahkan lagi keunikan yang ada pada bangunan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Jelasnya, apa yang menarik dengan bayaran RM10 bagi dewasa dan RM5 buat kanak-kanak warganegara tempatan, pengunjung diberi peluang untuk memasuki Muzium Sejarah, Muzium Etnografi dan Galeri Cheng Ho.

“Bagi pelancong asing, caj dikenakan adalah RM20 buat dewasa dan RM10 bagi kanak-kanak, waktu operasi dari Selasa Hingga Ahad, bermula jam 9 pagi hingga 4.30 petang. Isnin akan ditutup kecuali musim cuti umum dan cuti persekolahan.

“Antara yang menarik, pelancong boleh meneroka kronologi sejarah Kesultanan Melaka di bilik pertama diikuti sejarah Portugis dan Belanda di bilik kedua manakala di bilik ketiga pula menceritakan pelbagai tarikan. Ruang ini adalah bilik sebenar gabenor Belanda ketika memerintah Melaka sekitar tahun 1650 hingga 1824.

“Selain sejarah, muzium ini turut menceritakan kebudayaan dan keunggulan pelbagai lapisan bangsa di Melaka termasuk ruang dapur memasak roti suatu ketika dahulu masih kekal dipelihara di bangunan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

331
Kongsi :
Previous post Lelaki Bangladesh ditahan, jadikan hotel markas pemalsuan pasport
Next post Lelaki dikhuatiri lemas terjun Sungai Golok semasa operasi polis
Ubah saiz-+=