Terkejut, sebak jumpa ‘Abah’ depan mata

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDA HILIR 14 Sept. – Para peniaga di Pahlawan Walk di sini mengakui terkejut berbaur teruja apabila menerima lawatan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebentar tadi.

Peniaga dodol, Mohd Ikmal Hakim Sulaiman, 28 berkata dirinya seolah-olah tidak percaya apabila buat pertama kalinya dalam sejarah berniaga sejak tiga tahun lalu menerima kunjungan pemimpin negara.

“Saya memang terkejut dan sebak bila Perdana Menteri datang melawat. Kehadirannya membuatkan saya tidak dapat berkata apa-apa.

“Tapi saya sempat memberikannya dodol untuk dirasai dengan harapan dapat memperkenalkan produk Negeri Melaka,” katanya.

Nada sama turut disuarakan peniaga t-shirt di situ, Farizan Nabilah Hashim, 34.

Menurutnya, perasaan teruja tidak dapat disembunyikan apabila berkesempatan berbual mesra dengan figura utama negara yang kini mesra dipanggil ‘Abah’.

“Teruja, memang seronoklah dapat jumpa Abah kita. Walaupun hanya berborak sekejap, tetapi itu pun sudah cukup bermakna bagi saya.

“Saya berharap sangat dengan kehadiran Abah ke Melaka, kita dapat menambah baik lagi sektor pelancongan dan menarik lebih ramai pelancong-pelancong luar untuk datang ke negeri ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga Hamzan Malik, 20 menyifatkan kehadiran Muhyiddin sebagai satu lembaran baharu buat peniaga-peniaga sepanjang tempoh pasca pandemik COVID-19.

“Biasa tengok beliau depan kaca televisyen, tapi kali ini dapat tengok depan mata. Memang terharulah. Diharapkan dengan semangat turun padang pemimpin negara ia dapat membuatkan ekonomi negara kita semakin stabil dan kembali normal seperti dahulu,” ujarnya.

Views:

304
Kongsi :
Previous post Padah buat bising, remaja maut ditetak
Next post Peruntukan bantuan usahawan tani meningkat hampir 30 peratus
Ubah saiz-+=