Sorting by

×

TERKEJUT KAMBING JANTAN ATAS BUMBUNG RUMAH

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TABOH NANING 1 Mac – Seorang peniaga rojak terkejut apabila bunyi bising di atas bumbung rumah rupanya angkara dua ekor kambing jantan.

Kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Padang Lalang, Ayer Paabas, awal pagi semalam.

Penduduk, Rokiah Salim memaklumkan ketika kejadian dia sedang mengemas rumah sebelum terdengar bunyi bising seperti benda bergerak di atas bumbung rumahnya.

Katanya, dia terperanjat apabila melihat dua ekor kambing berada di atas bumbung sebelum menghubungi Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah untuk mendapatkan bantuan.

“Mulanya saya sangkakan monyet, dan tak terfikir kambing itu boleh naik atas bumbung.

“Saya tidak pasti bila kambing itu naik atas bumbung, tapi sehari dua ini saya perasan ada kambing meragut rumput berhampiran rumah dan walaupun dihalau, ia datang semula.

“Anggota APM memaklumkan ada kesan najis kambing bersepah di sekitar tangki air, mungkin ia menyorok di situ. Terima kasih atas bantuan menangkap kambing berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Alor Gajah, Kapten (PA) Shahrulnizam Mad Shah berkata, lima anggota digerakkan ke lokasi sejurus menerima aduan dan mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menyelamatkan kambing itu menggunakan tanjul dan tali.

Katanya, operasi diketuai Sarjan (PA) Muhammad Khairul Affendi Abd Aziz dan dibantu Lans Koperal (PA) Muhammad Shahril Hizhar Anuawi serta Prebet (PA), Muhammad Syamil Asyraf Sajari, Muhammad Nor Iqhwan Zainuddin dan Muhammad Syaheer Harun.

“Kambing itu dipercayai memanjat dari bahagian sengkuap zink rumah di belakang yang hampir dengan tanah.

“Anggota kita mengambil masa agak lama kerana kambing berkenaan agak liar dan sukar didekati selain perlu berhati-hati bagi mengelak kerosakan pada bumbung rumah,” katanya.

Menurutnya, kambing itu dibawa balik ke PDPA Alor Gajah dan satu laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah.

“Mana-mana individu pemilik kambing boleh datang menuntut haiwan berkenaan di PDPA Alor Gajah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

Kongsi :
Previous post MBSB TEROKA BIDANG PERNIAGAAN BAHARU
Next post FAMA MELAKA SASAR NILAI JUALAN RM8 JUTA TAHUN INI