Terkejut dapat siakap tepi pantai
MASJID TANAH 15 Jun – Nelayan terkejut berjaya menaikkan ikan siakap seberat 10.8 kilogram (kg) di tepi pantai Kampung Sungai Tuang, di sini hari ini.
Ini kerana spesis ikan itu lazimnya hanya boleh ditangkap di perairan tengah laut.
Mohd Ali Abu Bakar, 50, tidak menyangka rawai, iaitu alat menangkap ikan berbentuk 200 mata kail yang dipasang umpan ikan selangat sebelum dibuang ke dalam laut kira-kira 800 meter dari pantai di kampung itu mampu memerangkap ikan berkenaan.
Nelayan yang sudah turun ke laut sejak berusia 15 tahun itu berkata, dia dan awak-awak, Mohd Amin Fuad Ramli, 24, membuang rawai tersebut ke dalam laut pada jam 6 petang semalam.
“Kami membiarkan rawai itu semalaman dalam laut sebelum menariknya pada jam 7 pagi ini dan ketika menariknya, rawai terasa berat dan saya mula syak memang sudah mengena ikan besar.
“Setiap kali saya tarik tali rawai, ikan itu menyentap kuat dan saya terpaksa melepaskan sedikit tali rawai supaya tali tangsi tidak putus,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini.
Beliau berkata selepas bermain ‘tarik tali’ selama kira-kira 10 minit, akhirnya ikan siakap itu berjaya dinaikkan ke permukaan laut sebelum dibawa ke pangkalan nelayan tersebut.
Mohd Ali berkata beliau menghubungi beberapa rakan yang lazimnya berminat membeli ikan bersaiz besar untuk dijadikan hidangan keluarga.
Ikan tersebut, katanya, telah dijual dengan harga RM270 kepada salah seorang rakan tersebut.
Namun Mohd Ali berkata harga ikan siakap itu tidak dapat menandingi harga ikan senohong seberat 9.3 kg yang ditangkapnya, juga dengan menggunakan rawai di perairan kira-kira satu batu nautika dari pantai Tanjung Bidara pada 6 Jun lalu.
Katanya ikan senohong itu telah dijual kepada seorang peraih dengan harga RM500.