Terjun tingkap elak dicekup

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 7 November – Seorang tukang urut warga asing nekad terjun dari tingkat tiga sebuah hotel bajet di sini, ketika cuba meloloskan diri dari dicekup pihak berkuasa dalam kejadian di Taman Melaka Raya, lewat petang semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Melaka Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, serbuan menerusi Op Gegar itu dilakukan pihaknya selepas menerima aduan awam sebelum menjalankan risikan selama dua minggu.

Beliau berkata, premis itu disyaki menjalankan kegiatan tidak bermoral iaitu menawarkan perkhidmatan menerusi aplikasi Wechat dengan bayaran bermula RM250 hingga RM350 berdasarkan pakej disediakan.

“Ketika operasi seramai 17 wanita warga asing dan dua pelanggan diperiksa. Susulan daripada itu kesemua 12 wanita terbabit terdiri daripada warga Thailand, Indonesia, Vietnam dan Laos berusia antara 25 hingga 35 tahun dicekup.

“Mereka ditahan kerana disyaki melanggar syarat permit dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah,” katanya.

Menurutnya, sebanyak lima saman kepada saksi turut dikeluarkan pihaknya kepada pengurus hotel dan pelanggan untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan.

“Selain tangkapan kita turut merampas beberapa buku rekod pelanggan, kondom, pil pencegah hamil dan beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan untuk tujuan seks.

“Pasukan penguatkuasa berdepan sedikit cabaran ketika operasi apabila ada diantara wanita itu yang bertindak mengunci diri dalam bilik malah ada juga yang nekad melarikan diri menerusi tingkap,” katanya.

Anirwan Fauzee berkata, mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4291
Kongsi :
Previous post Sebak rumah berwajah baharu
Next post Isi borang maklum balas sebelum balik kampung
Ubah saiz-+=