Terjebak ‘cinta’ kuda

Masa Membaca:3 Minit, 55 Saat

DUYONG 27 Januari – Dianggap sebagai aktiviti sukan lasak yang menuntut keberanian tinggi dan perlu memahami ragam haiwan tunggangan menyebabkan ramai yang kurang berminat untuk menunggang kuda.

Namun ia sebenarnya adalah satu bentuk hobi bukan sahaja mampu memanaskan badan, bahkan menyuntik elemen terapi kepada penunggangnya.

Malah menunggang kuda adalah antara aktiviti yang amat disarankan oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW kepada umatnya.

Sesuai dengan peredaran masa sukan ini tidak lagi relevan untuk dikaitkan dengan golongan bangsawan semata-mata, kerana mula menarik minat masyarakat pelbagai lapisan usia sebagai aktiviti riadah.

JATUH CINTA TUNGGANG KUDA

Pemilik TK Horse Stable Centre di Empang 25, Sungai Duyong, Ismail Safwan Khan Ibrahim, 33, atau lebih selesa dipanggil Safwan berkata dia mula ‘terjebak’ dalam dunia menunggang kuda pada Februari tahun lalu.

Jelasnya, minat terhadap sukan itu bermula selepas menunggang kuda milik rakan kongsinya Othman Md Said, 33.

Akibat jatuh cinta kepada sukan itu dia mahu mengajak lebih ramai untuk bersama-samanya dan membuka kelas menunggang kuda.

“Selain menjadi terapi paling penting sukan lasak ini turut mengajar seseorang tentang ilmu kepimpinan.

“Menunggang kuda dan memanah antara sunnah Nabi Muhammad SAW, setakat ini kami ada 10 pelajar berusia lima hingga 70 tahun,” katanya.

2
OTHMAN Md Said, 33, (kiri) bersama Ismail Safwan Khan Ibrahim, 33, mengusahakan akademi berkuda di TK Horse Stable Center di Empang 25, Sungai Duyong. Foto: MR. AZLI

KELAS TUNGGANG KUDA

Menurut Safwan, kelas menunggang kudanya itu terbuka kepada semua tidak mengira jantina dan batasan usia.

“Untuk kelas menunggang kuda kita ada dua pakej, iaitu harga RM250 secara mingguan pada setiap Sabtu dan Ahad bagi tempoh tiga jam belajar.

“Atau satu lagi RM500 secara bulanan untuk tempoh tiga minggu dan belajar dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Kita di sini juga mengambil tempahan dan pelbagai jenis majlis melibatkan kuda juga kita terima sewaan,” katanya.

1
SEBAHAGIAN peserta yang menyertai kelas menunggang kuda di TK Horse Stable Center di Empang 25, Sungai Duyong. Foto: MR. AZLI

14 JENIS KUDA

Sementara itu Othman berkata, mereka menyediakan 14 ekor kuda untuk melatih pelajar di tapak berkenaan berkeluasan 0.8 hektar.

“Pada awalnya kita buka untuk keluarga sahaja dan bermula dengan hanya ada enam ekor kuda, kini sudah ditambah menjadi 14.

“Jenis-jenis kuda yang kita gunakan untuk pembelajaran seperti kuda jantan atau kuda lumba (exrace), kuda padi dan kuda Siam.

“Semua kuda ini (jantan) boleh dibuat baka atau induk, selain ditunggang dan pelbagai aktiviti berkuda,” katanya.

HIDUP SUNNAH NABI

Mengulas lanjut, Othman berkata tujuan utama dia dan rakan kongsinya membuka kelas menunggang kuda kepada orang awam untuk menghidupkan sunnah nabi.

Katanya sebagai seorang pemilik dia perlu memahami setiap ragam kuda yang dibela oleh keluarganya.

“Nikmat menunggang kuda ini sukar untuk diluahkan dengan kata-kata. Berdasarkan pengalaman saya siapa masuk bidang kuda, dia tidak akan keluar. Kuda ada kasih sayang ibarat kita ini duduk bila sudah sayang kita susah nak pergi.

“Kuda ini sama seperti manusia, bukan sahaja berlainan fizikal dan emosi namun perangai pun berbeza. Haiwan ini mempunyai emosi dan mengetahui perasaan kita yang menunggangnya, sama ada kita takut, cemas, ego atau berdebar.

“Ia bergantung kepada jenis individu yang menunggang dan bagi yang dominan, ia amat memudahkan penunggang itu kerana berjaya mengawal dan menguasai kuda, jika takut-takut, kuda ini mungkin akan ‘membulinya’,” katanya.

3
SITI Katijah Mohamad, 37, memberi makan kepada kuda di TK Horse Stable Center di Empang 25, Sungai Duyong. Foto: MR. AZLI

DAPAT SAMBUTAN

Sementara itu, bagi peserta, Siti Khatijah Mohd berkata dia meminati sukan berkuda dan menjadi peserta wanita pertama mengikuti kelas di TK Horse Stable Centre.

“Saya ikutkan memang sudah mahir menunggang, memasuki kelas asas menunggang di sini untuk mempelajari teknik yang lebih baik untuk mengawal ‘attitude’ (ragam) setiap kuda yang ditunggang.

“Berkongsi pengalaman, jatuh itu biasa, apabila kita nak belajar sesuatu yang baharu, memang akan ada risiko, namun saya percaya sukan berkuda ini mampu memberi manfaat kepada saya dan peserta yang lain,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dalam pada itu, seorang peserta cilik, Siti Nur Balqies Ab Manaf, 12, berkata, dia sudah belajar menunggang sejak dua tahun lalu dan dihantar memasuki kelas menunggang kuda untuk mempelajari teknik serta perhalusi kaedah ketika menunggang kuda.

Meskipun saiz badannya kecil dan rendah, namun jelas Siti Nur Balqies, itu tidak menjadi faktor dalam sukan berkuda.

“Semua orang boleh menunggang, saiz dan tinggi bukan bukan faktor penghalang. Pada awalnya memang rasa takut, tapi kita akan diajar langkah demi langkah bermula dengan seimbangkan badan seterusnya menunggang kuda dengan teknik betul.

“Selepas mahir sepenuhnya dalam menunggang kuda, saya akan belajar memanah sambil berkuda pula selepas ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3519
Kongsi :
Previous post Dua rakyat Malaysia maut selepas bot dinaiki terbalik di Krabi
Next post Jalan pintas baharu atasi kesesakan ‘Pekan Koboi’
Ubah saiz-+=