“Terima kasih TNB’

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

RIM 23 Sept. – “Saya tidak menyangka kami akan memiliki rumah sendiri, dan saya mengucapkan terima kasih kepada TNB kerana sudi bantu kami,” jelas penerima Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB 2020 Peringkat Negeri Melaka, P. Marimah,63, semalam.

Menurut Marimah, sebelum ini dia bersama suami, Vellasamy,83, menghadapi liku kehidupan yang sukar kerana bergantung kerja sebagai penoreh getah selain perlu menanggung sewa rumah serta kos kehidupan seharian.

AB. Rauf ketika menyempurnakan perasmian majlis penyerahan tersebut sambil disaksikan Baderul (kiri) dan P. Marimah (dua kiri).

“Saya dan suami memang berhadapan dengan keadaan yang sukar, ditambah pula kesihatan saya sendiri tidak mengizinkan, agak membataskan pergerakan kerja sebagai penoreh getah.

“Namun, saya bersama suami amat bersyukur dan mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada TNB kerana memenuhi impian kami untuk memiliki rumah sendiri,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB 2020 Peringkat Negeri Melaka di Desa Kesang Utama, Jasin yang disempurnakan sendiri oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Hadir sama Timbalan Speaker DUN merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Ghazale Muhamad, Ketua Komunikasi Korporat, Jabatan Hal Ehwal Korporat TNB Datuk Baderul Sham Saad serta Ketua (Perkhidmatan Pelanggan) TNB Melaka Khairizam Ibrahim.

Sementara itu, Ab. Rauf menyifatkan usaha TNB wajar dipuji kerana terus membantu golongan kurang berkemampuan dan berharap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain dapat mencontohi usaha tersebut.

“Usaha TNB dalam membantu golongan kurang berkemampuan wajar dipuji kerana menerusi Projek Mesra Rakyat mereka ini, telah banyak memberikan kelegaan kepada golongan tersebut.

“Saya berharap GLC yang lain juga dapat mencontohi usaha TNB ini,” katanya.

Views:

607
Kongsi :
Previous post Tebing runtuh ancam keselamatan Hairuddin
Next post ‘Banjir sudah sebati dengan kami’
Ubah saiz-+=