‘Terima kasih Sultan Ibrahim’

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KOTA LAKSAMANA 14 Jun – “Tidak sangka Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sudi meluangkan masa datang ke kampung kecil ini. Sebagai penduduk kampung saya amat bangga,” itu kata penduduk Kampung Pengkalan Rama Pantai, Abu Kasim Abu Bakar.

Abu Kasim, 82, antara 500 asnaf dalam daerah Melaka Tengah yang terpilih menerima Kurniaan Bakul Makanan Yayasan Sultan Ibrahim Johor bersempena Majlis Jamuan Teh Bersamaย  Rakyat Melaka di Dataran Pengkalan Rama, di sini, hari ini.

Terdahulu, keberangkatan Sultan Ibrahim diiringi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan agensi.

Menurut warga emas itu, dia amat teruja dan gembira apabila dimaklumkan dirinya antara empat asnaf dari kampung Pengkalan Rama Pantai yang terpilih untuk ke majlis itu.

“Sebelum ini kalau lihat pun menerusi televisyen tetapi hari ini dapat lihat secara terus, memang gembira dan teruja.

“Sebagai penduduk saya amat banggalah kerana bukan senang menerima kunjungan sebegini.

“Malah saya turut berterima kasih kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor kerana sudi mengurniakan bakul makanan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Dataran Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM),” hari ini.

Sementara itu, bagi seorang lagi penerima sumbangan Rossiah Baba, 61, berkata, jemputan untuk menerima sumbangan dari Yayasan Sultan Ibrahim Johor adalah sesuatu yang tidak pernah dijangka.

“Selain bersyukur dimurahkan rezeki kerana terpilih menerima sumbangan tetapi kali ini perasaan itu lain, amat teruja kerana pada masa sama dapat berjumpa dengan Yang di-Pertuan Agong.

“Dari Taman Desa Ayer Molek saya dimaklumkan hanya tiga orang yang terpilih untuk datang ke majlis ini, sudah pasti ini kenangan manis buat diri saya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

108
Kongsi :
Previous post Sultan Ibrahim mencemar duli melawat Banda Hilir
Next post Makan Malam GP Moto himpun 20,000 ‘bikers’
Ubah saiz-+=