‘Terima kasih raikan kami’
BANDARAYA MELAKA 4 April – “Terima kasih kerana ingat dan tidak lupa kepada kami,” luah Muhammad Tajul Iqram, 12 dalam keterujaan berbuka puasa di sebuah restoren chef terkemuka negara di The Shore Shopping Gallery.
Muhammad Tajul antara 30 penghuni dari Rumah Lembaga Pengurusan dan Kebajikan Anak Yatim Miskin (PAYASUM) yang diraikan pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pusat beli-belah itu.
Murid darjah enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tangga Batu itu berkata, setiap kali menerima jemputan untuk berbuka puasa di luar ia adalah saat yang amat mengembirakan kerana dapat berjumpa ramai orang.
“Apabila dapat keluar dan berjumpa ramai orang sambil berbuka puasa, ia sesuatu yang amat mengembirakan kerana dapat rasakan suasana ceria.
“Seperti hari ini kami bukan sahaja diraikan untuk berbuka puasa di restoran chef terkemuka yang saya minati malah turut dibawa melawat The Shore Oceanarium,” katanya.
Bagi seorang lagi penghuni PAYASUM, Nurzatul Nabila Mohd Zolkefli, 16, berkata, dalam kemeriahan majlis sebegitu ia sedikit sebanyak dapat melupakan kerinduan untuk berbuka puasa bersama keluarga.
“Jalan kehidupan saya mungkin tidak sama dengan rakan lain di luar sana jadi apabila diraikan sebegini ia sesuatu yang amat bermakna.
“Terima kasih tidak terhingga buat mereka yang terbabit kerana sudi menjemput dan meraikan kami dalam program cukup meriah ini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pusat The Shore Shopping Gallery Paulin Lim berkata, penganjuran program itu adalah satu daripada CSR dianjurkan pihaknya setiap kali musim perayaan bagi meraikan golongan tidak berkemampuan termasuk anak yatim.
“Pada program ini kita bukan sahaja menyampaikan sumbangan tetapi juga membawa mereka melawat sekitar termasuk mengadakan majlis berbuka puasa.
“Mudah-mudahan program seumpama ini kita akan teruskan pada masa akan datang dengan harapan dapat menggembira serta meringankan beban mereka yang kurang bernasib baik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.