Sorting by

×

TERIMA KASIH PM

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BANDA HILIR 28 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, merakamkan penghargaan atas keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyediakan peruntukan untuk projek–projek di Negeri Melaka melalui pembentangan Bajet 2025 yang lalu.

Ab Rauf berkata, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan bagi pelaksanaan kemudahan untuk rakyat iaitu pembinaan pusingan ‘U’ bertingkat dan ‘direct ‘U’-turn dari persimpangan Pulau Gadong hingga persimpangan Taman Cheng Perdana, dalam daerah Melaka Tengah.

Katanya, dua lagi berita gembira buat rakyat Melaka yang diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Bajet 2025 adalah pembinaan Pasar Besar Melaka Sentral dan balai polis Baharu di Tanjung Minyak.

“Besar tapak tangan nyiru kami tadahkan. Kerajaan Negeri Melaka juga berterima kasih dan berbesar hati di atas pengumuman projek secara pendekatan kerjasama awam-swasta (PPP) iaitu pembinaan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah.

“Pastinya projek pembangunan ini akan memberi manfaat kepada Negeri Melaka sebagai laluan alternatif pengguna jalan raya ke Melaka selain Lebuh Raya Utara Selatan,” katanya ketika berucap pada Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) bersama Kementerian Ekonomi dan Kerajaan Negeri Melaka di sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama pada sesi itu adalah Ketua Menteri Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Menteri Ekonomi Rafizi Ramli;  Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, barisan Exco serta timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Menurutnya, penganjuran sesi itu diharap dimanfaatkan sebaiknya oleh semua jabatan dan agensi berkaitan untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci daripada Kementerian Ekonomi mengenai dasar rangka RMKe-13.

“Sesi libat urus ini memainkan peranan yang signifikan untuk mengenal pasti isu-isu dan cabaran khususnya dalam aspek pembangunan sosioekonomi bagi mendapatkan input, maklum balas mengenai keperluan, perancangan pembangunan di peringkat negeri ke arah yang lebih dinamik serta mampan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

102
Kongsi :
Previous post KETUA MENTERI LUANG MASA SANTUNI PETUGAS MERS999
Next post PENCAHAYAAN LAMPU JALAN DIBERI TUMPUAN
Ubah saiz-+=